GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup
dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir kilat
berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.
Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5
pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda
tanah runtuh.
Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi
0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air
sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut
mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, seramai 1,968 mangsa banjir kini
ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di 4 daerah.
Beliau berkata, seramai 1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan
banjir di daerah Seberang Perai Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai
Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur Laut dan 158 mangsa di pusat
pemindahan banjir di daerah Barat Daya.
Guan Eng berkata, kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
Laporan sebuah agensi portal berita berkata, Seberang jaya adalah
kawasan paling teruk terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang
Jaya (HSJ) dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit
dipindahkan.
Seramai 21 mangsa banjir daripada 6 keluarga ditempatkan di pusat
pemindahan banjir sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas
kawasan rumah mereka dinaiki air dengan begitu pantas kira-kira 7 malam.
Pengangkutan awam tergendala
Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau
Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad berkata, hujan lebat dan angin kuat itu
turut menyebabkan 4 penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan
terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.
Katanya, 3 penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang,
manakala satu penerbangan lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Langkawi dan semuanya mendarat dengan selamat.
“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas dari
LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang
berjalan lancar. Pada masa ini, semua operasi penerbangan berjalan
seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan
basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah
besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata, banyak jalan utama
dinaiki air dan demi keselamatan orang ramai, mereka tiada pilihan
kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih.
Mereka turut meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk maklumat terkini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.