Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
KUALA LUMPUR: Amanah tidak boleh menggunakan alasan usia parti itu
masih 'hijau' ekoran prestasi hambarnya biarpun sudah menginjak usia dua
tahun sejak ditubuhkan pada September 2015.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed
Ali Syed Abbas Alhabshee berkata, walaupun Amanah sebuah parti baru,
namun barisan pemimpin mereka adalah 'orang lama' dan 'bukan
calang-calang'.
"Walaupun Amanah parti baru, PPBM parti baru tapi (pemimpin mereka)
orang lama yang ada pengalaman yang masuk ke dalam parti tersebut. Jadi
mereka tak boleh kata 'tak boleh bandingkan' (dengan PAS) kerana yang
masuk (Amanah) orang lama-lama.
"Mat Sabu ada, Salahuddin Ayob, Khalid Samad jadi mereka ni semua
pemimpin-pemimpin berpengalaman. Jadi kenalah buktikan. Kenapa pula tak
boleh nak bandingkan mereka. Mereka bukan orang baru, mereka orang lama
dalam politik.
"Parti saja baru (tapi pemimpin) semua orang lama," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual baru-baru ini.
Amanah dibarisi bekas pemimpin PAS yang pernah menjawat jawatan tinggi
dalam parti itu, antaranya bekas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, bekas
Naib Presiden, Salahuddin Ayob, bekas AJK PAS Pusat, Khalid Samad dan
beberapa individu lagi.
Dengan pencapaian yang pernah dilakar dalam PAS, pemimpin tertinggi
Amanah sepatutnya mampu untuk membawa parti itu ke tahap yang boleh
dibanggakan sekaligus memberi saingan sengit kepada parti pimpinan Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Namun sehingga kini Amanah gagal meyakinkan rakan komponen mereka iaitu PKR dan DAP bahawa prestasi mereka setara dengan PAS.
Sementara itu menjawab hal berkenaan, Timbalan Presiden Amanah
Salahuddin Ayob mempertahankan bahawa parti itu berjaya mengumpul
sekitar 80,000 orang ahli dengan lebih 60 cawangan seluruh Malaysia
dalam masa dua tahun.
"Perbandingan itu satu cabaran yang positif tetapi perlu diingat umur kami baru dua tahun, PAS telah lebih daripada 60 tahun.
"Oleh itu kejayaan kami pada hari ini mengadakan konvensyen dengan
perwakilan hampir 800 orang, saya kira itu satu pencapaian yang amat
pantas dan prestasi kita agak laju dalam tempoh dua tahun," ujar
Sallahuddin.
Malah beliau meminta rakyat memberi peluang kepada Amanah untuk
membuktikan bahawa parti itu mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan parti-parti yang lain.
"Cuba bayangkan Amanah 10 tahun akan datang, bagaimana prestasi kita
jika dibandingkan dengan kejayaan adakan konvensyen kali kedua,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.