Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: ADUN PAS juga sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor,
justeru wakil rakyat parti berhak menggunakan gambar mereka pada
mana-mana risalah program kerajaan negeri.
Itu
penegasan ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi selepas ditanya perihal seorang
pemimpin Wanita PKR yang mempersoalkan tindakannya mempamerkan gambarnya
pada sampul borang Skim Peduli Sihat.
Menurut Sallehen yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, amalan penggunaan
gambar untuk program kerajaan negeri sudah lama dipraktikkan sejak
pembentukan Pakatan Rakyat (PR) lagi.
"Persoalannya meletak gambar pada satu kesalahan ke? Meletak gambar
untuk program kerajaan negeri bagi seorang ADUN itu satu standard yang
semua orang boleh terima. Ini bukan amalan baru, sudah lama. Meletak
gambar pada program kerajaan negeri.
"Cuba baca apa yang ditampal pada gambar itu. Memang jelas dinyatakan
bahawa iu memang program kerajaan negeri. Bukan program saya. Sebagai
seorang ADUN kita menyampaikan program kerajaan negeri, kita letak
gambar disitu. Itu amalan biasa yang berlaku. ADUN PKR sebelum ini ramai
buat program. Apakah ADUN ini bukan sebahagian daripada kerajaan?,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli menuduh
Sallehen dengan sengaja mengelirukan rakyat apabila meletakkan gambarnya
berserta lambang partinya pada sampul borang Skim Peduli Sihat.
Skim Peduli Sihat diperkenalkan Oktober tahun lalu merupakan inisiatif
kerajaan Selangor membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus
terendah (B40), membiayai rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun.
Mengulas perkara itu, Sallehen berkata beliau dengan jelas menguar-uar
skim tersebut adalah program kerajaan negeri dan tidak sesekali
membayangkan kepada rakyat, bahawa ia dasar daripada PAS.
"Kita beritahu sendiri bahawa program itu kerajaan negeri bukan kita.
Kita beritahu pada masyarakat. Tidak pernah kita kata itu program PAS.
Tidak ada.
"Tiada masalah isu gambar. Melainkan kalau kita kata atas nama jawatan
politik. Gambar itu bukan isu bagi seorang ADUN dalam program kerajaan
negeri," katanya.
Ujar Sallehen, jika benar tindakkannya adalah satu kesalahan, beliau
menuntut agar polisi atau dasar membabitkan penggunaan gambar serta logo
parti diselaraskan semula membabitkan semua pihak.
"Sekarang ini tidak ada satu polisi atau arahan yang jelas.
Amalan-amalan itu kita sudah biasa guna sebelum ini. Yang realitinya
bahawa PAS masih ada kerajaan negeri Selangor. Dia nak nafikan macam
mana pun realitinya memang PAS memang ada dalam kerajaan negeri.
"Cuma kalau sekiranya kalau tidak boleh kita mahu supaya polisi dibuat
oleh kerajaan negeri. Jadi kerajaan negeri buat polisi untuk beritahu
secara jelas takat mana yang boleh, lambang parti. Setakat mana boleh
dan tidak boleh dalam program kerajaan negeri," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.