Ahad, 22 Oktober 2017

Konvensyen Amanah tolak usul Pemuda minta kuota calon PRU

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Konvensyen Nasional Amanah 2017 sebulat suara menolak usul sayap Pemuda yang meminta kuota 30% calon pilihan raya umum akan datang terdiri daripada kelompok anak muda.
 
Penolakan usul itu disokong oleh Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang Zahar Zainol yang menyifatkan kepimpinan Pemuda perlu membuktikan terlebih dahulu kelayakan mereka dalam mendapatkan kuota berkenaan. 
 
"Dalam kriteria kita nak memilih calon, ada atau tidak diletakkan had umur? Sekiranya tiada had umur, itu tak jadi isu. Saya rasa kalau semua orang muda ni layak, bukan setakat 30% (tapi) 80% pun pemimpin kita bagi. Ambil semua bagi orang muda sebab kami pun dah tua kena bagi orang mudalah buat kerja semua, kalau ada yang layak.
 
"Untuk membawa pemuda sebagai calon mereka perlu berfikiran muda, sanggup bekerja dengan orang yang berpengalaman dan buktikan dahulu," katanya pada sesi perbahasan hari terakhir di Konvensyen Nasional 2017 di Alor Setar.
 
Menurut beliau lagi, Pemuda perlu mencontohi sikap Presiden Mohamad Sabu, walaupun sudah berusia tetapi masih mampu menarik sokongan anak muda dalam parti ini.
 
"Merit nak jadi calon, saya rasa bukan kuota yang penting IQ dan juga diri sendiri. Contohnya abang Mat (Mohamad Sabu) umur 60 tahun tapi anak muda bersama dengan dia. Maknannya muda ini bukan pada umur tapi pada hati dan minda.
 
"Kalau muda pun tak boleh lawan dengan yang muda tapi kalau yang tua macam kami ni boleh kahwin muda itu lebih hebat daripada orang muda," katanya secara berseloroh.
 
Sementara itu, seorang lagi perwakilan yang turut membantah adalah Sulaiman Ibrahim dari Sik berkata, golongan Pemuda bukan sahaja perlu mendekati pihak atasan tetapi juga di peringkat akar umbi.   

"Ada pemimpin lain yang lebih layak lagi, saya setuju dengan Pemuda. Saya bukan berat sebelah terhadap orang muda, saya pun pemuda juga. 
 
"Tapi tunjukkan kesungguhan pemuda bukan sahaja di peringkat atasan tapi (juga) di peringkat bawahan untuk menarik lagi golongan anak muda bagi mencapai sasaran kuota 30%," katanya.
 
Usul berkenaan dibawa oleh Timbalan Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang Mohd Saifullah Mohd Nasir, bagi membolehkan mendapat kepercayaan orang muda yang membentuk hampir 55% pengundi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.