Ahad, 22 Oktober 2017

BN P.Pinang kemuka usul gesa pembangunan lereng bukit dihentikan

ANTARAPOS

Post Pic


GEORGETOWN: Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, Barisan Nasional (BN) negeri telah menghantar usul kepada DUN bagi menggesa kerajaan negeri menghentikan semua projek pembangunan di lereng bukit.

Menurut Jahara, ia bagi memastikan kejadian tanah runtuh di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, tidak berulang.

Katanya, isu pembangunan tidak terkawal di kawasan lereng bukit di negeri ini sudah lama dibangkitkan pelbagai pihak namun tidak dipedulikan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri hidup dalam sindrom penafian dan pekak terhadap masalah rakyat,"katanya dipetik Utusan Online.

Jahara berkata, beliau berharap usul berkenaan akan diterima malah wakil rakyat DAP dan PKR juga perlu menyokong kerana merupakan isu rakyat.

Sesi terakhir sidang DUN Pulau Pinang untuk tahun ini akan bermula 2 November ini.

Dalam pada itu ADUN Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad berkata, Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak seharusnya mengalihkan kesalahan kepada pihak lain.

Beliau menggesa Guan Eng untuk menilai semula semua garis panduan berkaitan pembangunan lereng bukit negeri itu.

Guan Eng sebelum ini menyifatkan insiden itu sebagai "kemalangan tempat kerja" dan berkata kerajaan negeri akan melakukan siasatan penuh bagi mengenalpasti puncanya.

Dalam kejadian jam 8.57 pagi semalam, sekumpulan 11 pekerja binaan yang sedang menjalankan kerja di bahagian bawah tanah bangunan yang sedang dibina itu tertimbus apabila tanah di lereng bukit berhampiran runtuh secara tiba-tiba.

Setakat ini, tujuh mayat sudah ditemukan manakala baki empat yang lain masih tertimbus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.