Selasa, 26 September 2017

Pembangkang sama 'mimpi' jatuhkan kerajaan, bukan tadbir negara - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Md Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai 'mimpi' yang sama iaitu mahu menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri, kata seorang penganalisis politik.
 
Namun menurut Dr Kamarul Zaman Yusoff, mereka sehingga kini gagal menyatakan pendirian secara jelas dalam membuat keputusan untuk negara sekiranya mereka mentadbir kelak memandangkan kesemuanya mempunyai 'mimpi' yang berbeza-beza.
 
"Parti-parti dalam PH ini sebenarnya tidak mempunyai matlamat yang sama dari segi perjuangan mereka untuk mentadbir negara, macam mana ingin mentadbir negara, siapa yang akan menjadi pemimpin utama dan benda-benda ini yang sampai sekarang pun belum dapat diputuskan dengan jelas.
 
"Contoh terbaru dalam isu pengharaman pesta arak, menampakkan bahawa parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak mempunyai perjuangan yang sama," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pemimpin utama pembangkang, Tun Dr Mahathir, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidur sebantal tetapi mempunyai ‘mimpi’ yang berbeza.
 
Justeru beliau mengingatkan rakyat agar berhati-hati dalam membuat pilihan berikutan Pakatan Harapan memiliki ideologi dan agenda yang berbeza sekali gus menyumbang kepada ketidakstabilan negara.
 
Najib berkata memilih PH hanya akan mengundang masalah apabila pemimpin gerakan itu sebelum ini berkali dilaporkan bertelagah mengenai isu-isu semasa.
 
Namun, kenyataan Najib itu tangkas dibidas oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang.
 
Menurut Kit Siang, kesemua pemimpin di dalam parti komponen PH termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu mempunyai mimpi yang sama iaitu untuk menumbangkan Umno dan menjatuhkan Najib.
 
Mengulas lanjut, Kamarul bersetuju dengan kenyataan Najib itu dan tidak menolak kesemua parti di dalam PH itu sememangnya mempunyai kepentingan dan agenda politik masing-masing.
 
"Ini orang tak panggil berkongsi mimpi yang sama tapi 'marrige of convinience' untuk kepentingan masing-masing. Macam tidur semalam sahaja, bila dah dapat keperluan masing-masing, ikut haluan masing-masinglah kemudiannya," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.