PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret membenarkan permohonan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua beradik,
masing-masing bergelar Datuk, bagi membantu siasatan berhubung isu
pertikaian pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol, Negeri
Sembilan.
Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff mengeluarkan perintah reman tiga
hari sehingga 28 September untuk siasatan lanjut terhadap dua lelaki
yang merupakan ketua eksekutif syarikat berbeza.
Kedua-dua lelaki berumur 54 dan 58 tahun itu ditahan dalam serbuan khas
SPRM di sekitar Lembah Klang antara jam 11.40 pagi hingga 12.45 tengah
hari semalam.
Mereka berdua yang memakai baju lokap SPRM tiba di perkarangan mahkamah
majistret kira-kira 9.25 pagi untuk prosiding reman itu.
Sementara itu, lelaki berumur 69 tahun berperanan sebagai penyelesai
yang direman sejak Selasa lepas berhubung isu ladang berkenaan yang
dulunya dikenali sebagai Ladang Gatco itu dibebaskan dengan jaminan
SPRM.
Lelaki itu ditahan setelah hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada 19 September lepas.
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilaporkan
berkata lelaki berkenaan merupakan saksi penting yang menguruskan
pemindahan hak milik tanah.
Isu pertikaian Ladang Gatco bermula apabila peneroka tidak berpuas hati
dengan penjualan ladang itu dan mendakwa wujud penyelewengan dalam
penjualan tanah terbabit kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd pada 2007
memandangkan syarikat berkenaan hanya membayar RM16 juta sedangkan nilai
pasaran semasa sekitar RM500 juta.
Kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar
berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang
tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri
Sembilan (PKNNS) secara pajakan selama 99 tahun.
PKNNS kemudian memajak tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The
Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan Gatco
jadikan kawasan berkenaan sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk
peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4.048 hektar
dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang.
Perancangan awal ladang adalah untuk jadikannya ladang getah namun
Gatco hadapi masalah kewangan menyebabkan projek itu terbengkalai dan
tanah berkenaan dirampas sebelum ditawarkan untuk lelongan awam pada
2004 dan dibeli Thamarai Holdings pada 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.