MAMPUKAH Umno melakukan lebih baik daripada kerajaan negeri Selangor sekarang dengan membawa masuk semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Muhd Taib?
Ahli politik yang kecewa dalam Umno dan masuk PAS pada tahun 2013; kecewa dengan PAS masuk PKR tahun 2015. Kecewa pula dengan PKR, masuk semula Umno pada 10 Septem- ber 2017. Kerap sangat kecewa.
Tindakan beliau keluar masuk parti setiap dua tahun sekali, jelas menggambarkan beliau seorang ahli politik yang tidak berprinsip.
Apakah mampu seorang ahli politik yang tidak berprinsip mahu merancang strategi untuk merampas selangor dari kerajaan negeri yang sedia ada?
Kerajaan negeri Selangor sudah dua penggal memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.Segala macam bantuan diagihkan kepada rakyat yang berhak.
Anak-anak muda yang berpendapatan rendah mendapat bantuan untuk mendirikan rumahtangga. Begitu juga warga emas yang sudah banyak berjasa kepada negeri turut dirai dengan menikmati hasil kekayaan negeri.
Semua bangsa dan agama dapat menikmati hasil kekayaan negeri. Agihan bantuan dan sumbangan disalurkan secara adil.
Tempoh percubaan untuk pimpinan kerajaan negeri menunjukkan kewibawaan dan ketelusan masing-masing sudah teruji. Tiada satu pun di antara mereka yang tercalit dengan korupsi dan penyelewengan.
Menteri Besar, exco-exco dan Adun negeri Selangor tidak ada yang ditangkap di luar negara kerana membawa wang berjuta ringgit. Exco dan wakil rakyat PAS tidak ada yang terlibat dengan penyelewengan kuasa.
Kehidupan mereka sama seperti sebelum menjadi exco dan YB. Bezanya, mereka (YB lelaki sering memakai kot dan bertali leher).
Andaikata Umno yang terus mentadbir negeri Selangor, apakah Menteri Besar, exco dan wakil rakyat mereka mampu menjanjikan perlaku yang bersih daripada korupsi dan penyelewengan?
Apakah rakyat Selangor dapat menikmati segala manfaat hasil kekayaan negeri sebagaimana yang dinikmati sekarang?
Pasti, tidak.
Sebelum ini, Presiden Umno, Dato Seri Najib Tun Razak menaruh harapan kepada Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar untuk merampas Selangor.
Namun, segala strategi dan perancangan Noh ternyata gagal.
Segala fitnah dilemparkan kepada kerajaan negeri dan pimpinan parti khususnya PAS.
Tujuannya untuk menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap pimpinan kerajaan negeri.
Namun, rakyat tetap menyokong pentabdiran kerajaan negeri.
Taktik licik Umno Selangor di bawah Pengerusi, Noh Omar untuk menjatuhkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri Selangor ternyata gagal.
Justeru, Najib dilihat terlalu ‘desperate’ kerana tidak yakin untuk merampas negeri paling kaya dan termaju di Malaysia.
Lantas, membawa masuk ahli politik yang tiga kali bertukar parti.
Ketika pengumuman Mat Taib masuk Umno, dikhabarkan ada lapan Adun PKR dan 13 Adun PAS hadir sama. Namun yang kelihatan hanya Mat Taib keseorangan.
Memetik kata-kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor I, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; “Tindakan Najib membawa masuk Mat Taib memperlihatkan bahawa Umno sebenarnya berada dalam keadaan ‘desperate’.
Katanya, dakwaan kehadiran 13 Adun PAS pada hari sidang media itu sangat tidak berasas.
“Kemasukan semula Mat Taib ke dalam Umno tidak memberi kesan langsung terhadap PAS khususnya di Selangor. Mat Taib keluar dari PAS, PAS tidak rugi apa-apa malahan PAS terus kekal dengan prinsip parti,” tegasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.