SHAH ALAM: Konflik kerjasama antara PAS-PKR mendorong seorang pemimpin
parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesyorkan untuk parti itu
mengadakan kongres khas peringkat kebangsaan bagi memutuskan mengenai
perkara itu.
Naib Presidennya Rafizi Ramli berkata, ketika ini wujud dua kumpulan
saling bertentangan dalam parti itu dan masing-masing membawa pendapat
berbeza mengenai cara bagaimana PAS perlu ditangani.
Ujar beliau, kewujudan dua kumpulan berbeza pendapat itu mengelirukan
akar umbi kerana ada antara mereka turut memegang jawatan kanan di
peringkat Pakatan Harapan (PH).
Keadaan itu, kata Rafizi, sudah berlaku sejak pertengahan 2015 dan
dikhuatiri akan memberi kesan kepada persedian gabungan berkenaan
menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku
dari peringkat biro politik ke MPP (Majlis Pimpinan Pusat), hinggalah ke
peringkat akar umbi.
"Oleh yang demikian, sampai masanya (persoalan kerjasama dengan PAS)
diputuskan secara menyeluruh mengikut perlembagaan parti supaya jalan
buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik, iaitu demokrasi.
"Saya mengesyorkan kongres khas kebangsaan diadakan dengan segera untuk
memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan
cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan
perlembagaan parti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sekali lagi memberi
bayangan bahawa parti itu akan mengadakan rundingan dengan PAS
berhubung kerjasama di Selangor.
Beliau juga turut menegaskan, rundingan itu berlaku hanya antara PKR dan PAS dan tidak melibatkan PH.
Isu kerjasama ini kembali hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan
beliau bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Malah Wan Azizah juga berkata tidak menolak kemungkinan jalinan
kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang
iaitu menumbangkan Umno-BN.
Namun PAS menegaskan bahawa pendirian mereka masih sama iaitu tiada kerjasama akan berlaku selepas ia diputuskan pada Mei lalu.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali pula
menegaskan partinya tidak akan mengadakan rundingan kerjasama politik
dengan PKR walaupun atas nama individu.
Menjelaskan lagi tentang dua kumpulan berkenaan, Rafizi berkata, ia
terbahagi antara kumpulan pragmatik dan percaya kepada prinsip.
Katanya, satu kumpulan berpendapat keutamaan tertinggi parti ialah
mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor, manakala satu lagi
berpandangan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus membela
rakyat melalui gabungan pembangkang berpandukan keadilan sosial dan
merangkumi semua pihak.
"Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan
memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih
penting daripada pragmatisme politik untuk berkuasa semata-mata.
"Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip
perjuangan akan menyebabkan PKR dilihat tidak berbeza dengan Umno atau
parti-parti lain," katanya.
Malah Rafizi turut menyenaraikan sejumlah nama yang didakwanya
menyokong usaha untuk terus berunding dengan PAS ialah Tian Chua,
Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin
Badaruddin.
Pemimpin lain termasuk Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, anggota
Biro Politik PKR R Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin
Jaafar dan Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.