Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik menjangkakan PKR akan terus
memujuk PAS untuk mengadakan rundingan kerjasama sehingga Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan kemenangan memihak kepada Pakatan
Harapan (PH).
Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini kerana PKR sedar
kerjasama dengan PAS akan mampu membantu mereka untuk meraih kemenangan,
selain mengelak pertembungan tiga penjuru.
"Walaupun mereka sedar PAS tidak mahu bekerjasama, namun secara
praktikal dan realitinya mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa
mereka hanya akan menang jika kerjasama itu dibuat.
"PKR sedar tanpa kerjasama dengan PAS, mereka akan sukar untuk menang
dalam pilihan raya akan datang, apatah lagi bila pertandingan nanti akan
berlakunya tiga penjuru," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai senario terkini PKR yang
dilihat seakan tetap mahu meneruskan rundingan kerjasama dengan PAS
walaupun berkali-kali ditolak parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
itu.
Malah semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sekali lagi
memberi bayangan bahawa parti itu akan mengadakan rundingan dengan PAS
berhubung kerjasama di Selangor selepas Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehin
Mukhyi mengumumkan bakal bertanding di 42 buah kerusi DUN negeri itu.
Isu kerjasama ini kembali hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan
beliau bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS
baru-baru ini.
Malah Wan Azizah juga berkata tidak menolak kemungkinan jalinan
kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang
iaitu menumbangkan Umno-BN.
Mengulas lanjut, Martadha berkata PKR sememangnya sedar bahawa mereka
memerlukan PAS terutamanya bagi meraih meraih sokongan pengundi Melayu,
lebih-lebih lagi di Selangor.
Justeru katanya, atas desakan itu PKR seakan berdegil untuk terus
mengadakan rundingan kerjasama dengan PAS bagi mencapai matlamat mereka.
"Bukan mereka (PKR) tidak mahu terima (PAS tidak mahu berbincang lagi),
tetapi lebih kepada mereka bercakap berdasarkan kepada realiti iaitu
mereka tidak mampu untuk mendapat kemenangan jika mereka sendirian tanpa
kerjasama dengan PAS kerana mereka juga sebenarnya tumpuan mereka
adalah untuk mendapatkan pengundi Melayu.
"Apabila PAS akan turut bertanding maka undi Melayu akan berpecah
kepada tiga dan ini akan menyulitkan kemenangan PH terutamanya jika
ianya diwakili oleh PKR.
"Sebab itulah mereka tetap walaupun kenyataan demi kenyataan
dikeluarkan oleh PAS menyatakan mereka tidak mahu bekerjasama, namun
bukan itu yang difikirkan oleh PKR tetapi lebih kepada bagaimana ingin
meneruskan kepimpinan mereka di Selangor dan realitinya untuk meneruskan
kesinambungan itu mereka perlukan kerjasama dengan PAS," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.