Oleh Shuhaniza Said
BALING: Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan peristiwa Memali
berpunca daripada amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibidas salah
seorang mangsa tragedi berdarah itu.
Datuk Yusuf Hussin, 63, yang merupakan sahabat kepada Ibrahim Mahmud
atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, iaitu guru agama yang
terbunuh sewaktu tragedi itu menegaskan 'Amanat Hadi' langsung tidak ada
kena mengena dengan peristiwa Memali.
"Lihat dalam Facebook, masya-Allah, saya mampu beristigfar, kerana orang sanggup mengata.
"Ini tidak ada kena mengena langsung dengan fatwa Haji Hadi, tak ada
kena mengena fatwa itu dengan peristiwa Memali ini. Peristiwa Memali
hanya disebabkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," katanya dalam
satu temubual bersama Antarapos di kediamannya di Kampung Memali,
kira-kira 20km daripada pekan Baling.
Tegas bekas senator itu, Ibrahim seorang guru agama yang lantang
menentang ISA, satu akta yang membolehkan seseorang ditahan tanpa
melalui perbicaraan di mana pada pendapatnya bercanggah dengan ajaran
Islam.
Yusuf sendiri merupakan salah seorang penduduk Kampung Memali yang ditahan di bawah ISA susulan tragedi itu.
Yusuf menjalani tahanan selama kira-kira lapan bulan termasuk enam bulan di Kem Kamunting, Taiping.
"Kejadian sebenarnya adalah seorang ulama mempertahankan dirinya
daripada dizalimi di bawah akta ISA. Dia mengorbankan dirinya. Janganlah
menghina dia.
"Saya yakin kalau digali kembali, mayatnya tetap tak berubah kerana dia
syahid mempertahankan dirinya. Kepada masyarakat, dapatkanlah maklumat
yang sebenar," kata Yusuf yang dikenali sebagai Pakcop oleh penduduk
tempatan.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mendakwa
tindakan Hadi mengeluarkan amanat menjadi punca kepada tercetusnya
peristiwa Memali.
Ujar Dr Mahathir, Ibrahim Libya dan pengikutnya terlalu taksub dengan
'Amanat Hadi', merujuk kepada ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang pada 1981, sehingga menyebabkan mereka terkorban ketika pasukan
keselamatan melancarkan operasi menangkap guru agama itu pada 19
November 1985.
Tragedi itu mengorbankan 18 nyawa termasuk Ibrahim dan empat anggota
polis, selain ramai yang tercedera serta menyaksikan penahanan
sebilangan penduduk kampung.
Hadi beberapa hari lalu pula mendakwa, peristiwa Memali yang tercetus
32 tahun lalu berlaku kerana salah laku terhadap Islam oleh pemimpin
negara pada masa itu.
Ujar Hadi, Ibrahim merupakan lulusan pengajian tinggi dan seorang tokoh
agama yang 'tidak bersedia menjadi syaitan bisu' apabila Islam dihina
dan dipersenda.
Justeru ujar Hadi, PAS bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) jika cadangan penubuhannya menjadi kenyataan.
Kerajaan Dr Mahathir buat kesilapan besar
Dalam pada itu seorang lagi pengikut Ibrahim, Yusop Che Mit mendakwa
kerajaan yang ditadbir Dr Mahathir ketika itu melakukan kesilapan besar
akibat mendapat maklumat yang salah daripada pihak yang tidak menyenangi
guru agama itu.
Ujarnya, tindakan pihak berkenaan 'mencucuk' kerajaan adalah
semata-mata demi menyekat pengaruh Ibrahim yang pada ketika itu mula
mendapat tempat dalam kalangan penduduk kampung dan masyarakat setempat.
"Mereka
(kerajaan) silap banyak. Kesilapan pertama ialah SB (cawangan khas)
Baling ini banyak dengar SB upahan di kampung yang latar belakangnya
cukup jahat.
"Saya tak mahu sebutkan nama-nama mereka tapi ada yang masih hidup dan
ada yang telah mati. Mereka dengar laporan mengatakan Ustaz Ibrahim
seperti itu, seperti ini.
"Itu yang sampai mereka hantar sehingga 3,600 orang polis," katanya.
Yusop yang berusia 26 tahun ketika itu hanya mengetahui mengenai
tragedi itu selepas dimaklumkan rakan kerana sedang menuntut di sebuah
sekolah pondok di Kelantan.
Anak jati Kampung Memali itu kini berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Islahiah Diniah, sebuah madrasah yang diasaskan Ibrahim.
Yusop juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa bertindak yang
ditubuhkan di peringkat Memali secara bersama dengan waris dan mangsa
tragedi itu, demi mendesak kerajaan membongkar kembali kes berkenaan
agar keadilan dapat ditegakkan.
"Saya teringat pesanan as-syahid (Ustaz Ibrahim) yang mengatakan bahawa
orang yang ditindas, orang yang dizalimi, orang yang mati syahid,
sebenarnya tidak mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.