Khamis, 22 Jun 2017

Kenapa tak tubuh RCI untuk siasat skandal 1MDB, FGV dan Scorpene?


Roketkini.com

GELANG PATAH: Mengapa tidak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) malah skandal melibatkan pembelian kapal selam Scorpene?

Demikian soal Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sebagai reaksi terhadap keputusan Kabinet semalam yang bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an.

Menurut beliau, tindakan Kabinet itu dilihat seolah “menggali bangkai gajah” untuk membalas dendam terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini lantang mengkritik kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Gajah dalam bilik yang masih bernafas seperti skandal berbilion dolar 1MDB dan skandal FGV tidak pula diendahkan, ia akan mencalarkan lagi imej negara dengan tindakan pengecut Kabinet itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipandang tinggi dunia jika melepaskan jawatan masing-masing bagi memulihkan semula imej kleptokrasi negara.

“Namun, Kabinet memilih untuk menjadi pengecut – bukannya menarik perhatian dunia melalui sikap berani dan berkeyakinan, sebaliknya ketidakmampuan untuk membezakan yang betul dan salah, dan tidak mengendahkan skandal terkini yang berlaku,” ujarnya.

Kabinet sebulat suara semalam bersetuju untuk menubuhkan RCI dengan syor Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kerugian forex oleh BNM.

Kit Siang adalah pemimpin pembangkang utama yang lantang menggesa agar RCI ditubuhkan bagi menyiasat kerugian BNM dalam forex tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.