Khamis, 22 Jun 2017

KEMASKINI- Struktur PH belum muktamad, masih bincang, kata Wan Azizah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Struktur kepimpinan Pakatan Harapan (PH) masih tidak dapat didaftarkan dalam waktu terdekat memandangkan beberapa perkara penting seperti barisan utama pimpinan masih lagi dalam perbincangan, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
"Kita masih lagi berbincang diantara satu sama lain (dalam parti), sebab kita hendakkan konsensus di antara empat aprti. Bila bertemu konsensus kita akan daftar," katanya kepada pemberita dalam sidang medianya hari ini.
 
PH sehingga kini gagal memuktamadkan barisan kepimpinannya, dikatakan berpunca daripada beberapa cadangan yang berbeza dari setiap parti.
 
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini didakwa mahu jawatan utama gagasan itu, iaitu Pengerusi dan Presiden diberikan kepadanya.
 
Namun hal itu dikatakan tidak dipersetujui PKR, dengan mendakwa akan berlaku penguasaan PPBM dalam gagasan pembangkang berkenaan.
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menerusi kenyataan terbarunya melahirkan kebimbangannya terhadap penguasaan PPBM ke dalam PH, selain mahu jawatan pengerusi hanya bertindak sebagai penyelaras.
 
Dalam sidang media yang sama juga Wan Azizah ditanya calon perdana menteri bagi PH selepas Anwar menolak dirinya dicalonkan ke jawatan itu.
 
"Terpulang kepada kitalah. Sesiapa yang mendapat majoriti akan menjadi PM. Kita menang dahulu kemudian baru kita bercakap siapa yang akan menjadi PM," ujarnya ringkas.
 
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ketika mengulas hal itu juga berkata meskipun Anwar menolak cadangan itu, namun nama pemimpin tersebut merupakan persetujuan bersama kesemua parti.
 
"Tujuan Anwar tarik diri supaya tidak ada perbincangan siapa yang akan menjadi PM. Kita menang pun belum, dan sekarang hendak tumpu kepada PRU.
 
"Anwar tidak meletakkan dirinya sendiri. Yang menamakan beliau sebagai calon adalah konsensus semua parti. Bila dah timbul isu beliau tarik balik, namun apabila kita menang segalanya terpulang seperti apa yang berlaku, siapa (parti) yang dapat kerusi lebih banyak itu terpulanglah," ujarnya.
 
Anwar pada Sabtu lalu membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika PH menang pada PRU14.
 
Anwar melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR berkata, PH harus memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke arah kemenangan PRU14. 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.