Khamis, 22 Jun 2017

Kempen ‘Mega Mydaftar’ terima 2,500 permohonan

Bernama
 
Majoriti permohonan dalam kempen itu, yang berakahir hari ini, melibatkan kes-kes rumit yang memerlukan penelitian khusus Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF).

PUTRAJAYA: Kempen ‘Mega Mydaftar’, bagi membantu setiap rakyat berketurunan India yang tidak memiliki dokumentasi pengenalan diri, menerima 2,500 permohonan sejak dimulakan pada 5 Jun lepas.

Presiden MIC Dr S. Subramaniam berkata majoriti permohonan dalam kempen itu, yang berakahir hari ini, melibatkan kes-kes rumit yang memerlukan penelitian khusus Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF).

“Permohonan ini agak rumit untuk diselesaikan JPN secara terus kerana melibatkan isu dokumentasi seperti maklumat bila, di mana dan asal usul ibu bapa pemohon.

“Kes itu memerlukan penglibatan tahap intervensi micromanagement yang agak rumit dan sebab itu, jawatankuasa di bawah SITF perlu meneliti semula setiap kes ini bagi mencari data atau maklumat yang diperlukan bagi melengkapkan permohonan,” katanya pada sidang media selepas meninjau hari terakhir kempen itu di ibu pejabat JPN di sini, hari ini.

Dr Subramaniam yang juga Pengerusi SITF berkata jawatankuasa itu memerlukan masa tiga bulan bagi mengumpul data dan maklumat yang diperlukan atas faktor kesukaran mencari ibu bapa atau keluarga individu yang membuat permohonan.

Katanya tanpa intervensi pengurusan mikro, permohonan yang memerlukan maklumat lengkap ibu bapa pemohon yang mungkin telah meninggal dunia atau berpindah dari alamat asal menjadikan permohonan amat sukar untuk diselesaikan pihaknya.

“Jadi, kita akan lihat semula semua kes bagi membolehkan jawatankuasa mencari penyelesaian termasuk mengenal pasti asal usul ibu bapa untuk membantu mereka memperoleh dokumen untuk melengkapkan permohonan,” katanya.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon kerajaan menilai beberapa polisi yang diyakini boleh membantu permohonan jika ia dipermudahkan.

Antara perkara yang boleh dilihat semula ialah polisi untuk mendaftar dan mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi ibu bapa yang mengambil anak angkat daripada agensi di bawah seliaan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya ibu bapa anak angkat itu sepatutnya tidak menghadapi masalah dari segi dokumentasi ibu bapa kandung bagi urusan mendaftar persekolahan atau memiliki dokumen pengenalan diri kerana kanak-kanak itu diambil daripada jabatan kerajaan yang tentunya mempunyai setiap maklumat berkaitan asal usul keluarganya.

Kempen ‘Mega Mydaftar’ merupakan kesinambungan kempen ‘Mydaftar’ yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini untuk menyelesaikan masalah dokumentasi masyarakat India yang tidak memiliki dokumen berkaitan kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan.-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.