Seramai 45 individu termasuk 22 penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga semalam.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban berkata daripada jumlah itu, seramai 15 individu adalah pekerja swasta manakala selebihnya adalah orang ramai dari pelbagai pekerjaan lain.
"Jumlah tangkapan pada tahun ini meningkat lebih 100 peratus kerana sejak lima tahun lepas purata tangkapan SPRM di negeri ini tidak lebih 40 orang.
"Saya percaya dengan kerja keras kami serta kerjasama pelbagai pihak mungkin ramai lagi yang ditahan dalam usaha membendung gejala rasuah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, di George Town hari ini.
Beliau berkata sebanyak 29 aduan diterima dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan salah guna dan penyelewengan oleh sekolah dan JPN Pulau Pinang, namun hasil siasatan mendapati ia tidak berasas atau tidak menyalahi peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata tujuh individu yang ditahan Februari lepas kerana terlibat dalam kes manipulasi pembaharuan Lesen Pengangkutan Kenderaan Awam (PSV), akan didakwa di tiga mahkamah di Pulau Pinang dan Perak esok.
Katanya empat suspek akan didakwa di Mahkamah George Town, dua di Mahkamah Butterworth manakala seorang lagi di Mahkamah Ipoh, Perak.
"Pertuduhan ke atas seorang lagi suspek kes sama terpaksa ditangguhkan kerana dia sedang menjalani rawatan kanser di China," katanya.
Seramai tujuh doktor, dua orang tengah dan seorang pembantu klinik direman selepas dipercayai terbabit dalam kes memanipulasi pembaharuan PSV di negeri ini sejak 10 tahun lalu dan semua doktor terbabit didakwa menyalahgunakan profesion mereka dengan meluluskan borang permohonan pemeriksaan perubatan tanpa melakukan sebarang pemeriksaan.
Kesemua mereka ditahan menerusi Operasi Cergas, membabitkan serbuan serentak terhadap tujuh klinik sekitar Bukit Mertajam, Batu Ferringhi, Pekan Lama, Gelugor dan Perai.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.