Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan, bahawa jumlah India Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi sehingga Februari 2017 ialah 985,000 daripada jumlah 1,362,000 pengundi yang layak mengundi
KUALA LUMPUR: Walaupun tarikh tepat Pilihan Raya Umum yang ke-14 (PRU 14) belum lagi diketahui, paluan ‘gendang PRU’ sudah kedengaran selepas hampir kesemua parti politik mula bersiap sedia untuk menghadapi PRU 14 yang dikatakan bakal menempah nama sebagai PRU paling sengit dalam sejarah negara kita.
Apakah strategik Perdana Menteri Najib Razak lebih hebat berbanding dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang sering dilabel sebagai ‘master politician’ yang kini bersedia menumbangkan Umno.
Adakah bala tentera Mukhriz Mahathir mampu menggugat Kedah? Mampukah Mohd Shafie Abdullah sempurnakan ‘mission tawan Sabah’ dari Semporna? Dan akhir sekali, hebat sangatkah Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang bercita-cita untuk menawan lima negeri?
Hanya masa akan terjawab. Walaupun, Najib mengambil sikap berdiam diri, ramai termasuk pemimpin-pemimpin BN percaya bahawa PRU akan diadakan sebelum hujung tahun ini.
Disebalik demam dan keriangan politik tanah air ini, satu soalan yang muncul dikalangan pakar politik dimanakah pengundi India kali ini?
Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan, bahawa jumlah pengundi India Malaysia yang berdaftar sehingga Februari 2017 ialah 985,000 daripada jumlah 1,362,000 pengundi yang layak mengundi.
Jumlah pengundi India adalah 6.8% daripada jumlah 13,469,000 pengundi yang berdaftar mengundi pada PRU 14 nanti. Walaupun, angka pengundi sangat kurang berbanding Bumiputera 9,082,000 (62.9%) dan Cina 4,258,000 (29.5%), ramai pemerhat politik mengakui pengundi India merupakan salah satu kunci kemenangan di 58 kerusi Parlimen.
Angka ini cukup signifikan kepada kedua-dua gabungan mahupun BN atau Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menawan Putrajaya pada PRU 14 ini.
Soalannya apakah pendirian pengundi India? Adakah mereka bersedia untuk satu lagi ‘Tsunami politik’ atau sebaliknya?
PRU 14 akan memihak kepada PH?
Menurut Setiusaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) S Barathidasan, PRU 14 akan memihak kepada PH.
“Ini kerana rakyat India sangat marah dengan BN. Bila saya sebut marah, ia betul… mereka sangat marah dengan BN dan MIC. Khusunya dalam isu Dr Zakir Naik, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin,” katanya kepada Berita Daily.
“Kalau pada 2008, pengundi India marah dengan isu perobohan kuil dan isu kematian ‘Everest Moorthi’ kin, mereka dengan dengan Zakir dan Asri yang menghina penganut Hindu. Namun, tiada tindakan daripada pihak berkuasa.
“Sebagai contoh sudah lebih 150 laporan polis sudah dibuat terhadap Dr Asri. Tetapi masih tiada tindakan daripada pihak polis kerana tekanan dari pihak atasan. Lebih kecewa, MIC sebagai parti komponen masih tidak mampu buat apa-apa. Hanya keluarkan kenyataan demi kenyataan,” tegas beliau.
Tambahnya, selain isu Zakir, DLP (program dwibahasa) kenaikan harga barang, diskriminasi kerajaan terhadap pelajar-pelajar India juga beberapa isu sampingan yang mendorong kejatuhan sokongan pengundi India kepada BN.
Ditanya mengenai Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia, Barathidasan berkata ianya satu gimik politik oleh BN.
“Pelan tindakan itu hanya satu janji politik. Kita sudah nampak banyak pelan tindakan sebegini. Misalnya, daripada Hindraf, Denison Jayasuria dan bekas Presiden MIC G Palanivel.
Kesemuanya dipersetujui oleh Najib. Namun tiada satupun dilaksanakan,” jelasnya sambil menambah yang akan mendapat manfaat daripada pelan tindakan ini ialah ahli politik bukannya rakyat biasa.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak realiti bahawa pembangkang juga tidak bersungguh-sungguh dalam usaha menawan hati pengundi India.
“Ada beberapa perkara membuat pengundi India rasa tidak puas terhadap pembangkang. Perobohan kuil, permintaan kaum India di negeri-negeri pembangkang ditolak merupakan beberapa perkara yang sering diapi-apikan oleh BN.
“Tetapi, saya percaya ia masih tidak mencukupi untuk BN meraih undinya. Pada jangkaan saya PH akan mendapat 60% hingga 65%. Manakala, BN hanya sekadar 35% hingga 40% peratus sahaja,” ujar beliau.
Bersetuju dengan pendapat Barathidasan, Ahli Parlimen Batu
Gajah, V Sivakumar berkata PH bakal akan mendapat sekurang-kurangnya 60% sokongan daripada pengundi pada PRU akan datang.
“Ini kerana pengundi India semakin menghimpit dari segi ekonomi manakala, golongan atasan pula tidak serik dengan kenyataan dan tindakan rasis dari Umno dan penyokongnya.
“Terdapat dua golongan India, iaitu golongan berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah. Kedua-dua golongan ini tidak lagi percaya dengan janji-janji BN dan pentadbirannya,” katanya pemimpin DAP itu.
“Disamping golongan berpendapatan rendah sesak nafas dengan harga barang tinggi dan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), golongan berpendapatan tinggi pula semakin menjauhkan diri dengan BN kerana tindakan dan kenyataan rasis oleh pemimpin dan pegawai kerajaan BN,” jelas beliau.
“Saya yakin PH akan mendapat minimum 60% sokongan pengundi India pada PRU akan datang,” tegasnya lagi.
Keadaan sudah berubah
Namun, kenyataan beliau tidak disambut baik oleh Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, K Arivind.
Katanya, rakyat Malaysia khususnya India tidak lagi percaya dengan propaganda pembangkang.
“Cara berfikiran pengundi India sudah banyak berubah berbanding PRU 12 pada 2008. Mereka sudah bosan dengan pembangkang,” tegas beliau sambil menambah rakyat sudah tidak percaya lagi pembangkang.
“Sebagai contoh, kenaikan harga barang bukan satu perkara isu tempatan sebaliknya isu antarabangsa.
Terdapat banyak faktor untuk kenaikan harga. Tetapi, pembangkang sering menuding jari ke arah kami tanpa memberi sebarang faktor munasabah,” jelasnya.
Tambah beliau, pengundi India sudah muak dengan pembangkang yang masih cuba meraih undi dengan membelakangan segala usaha BN.
“Cuba tengok, mereka (pembangkang) kata masih 300,000 rakyat India di Malaysia tidak mempunyai dokumen-dokumen pengenalan diri yang lengkap. Bila kami melancar program ‘mega daftar’ tiada pemimpin pembangkang termasuk Hindraf tampil ke hadapan untuk membuktikan kewujudan 300,000 orang ini. Jadi siapa yang menipu di sini?” tanya beliau.
Menurutnya, beliau yakin dengan kekuatan BN dan MIC pada kali ini, dan pada PRU 14 ini, di mana pengundi India akan kembali kepada BN.
BN perlu calon tempatan?
Dalam pada itu, bekas Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan, S Subramaniam berkata MIC mampu mencapai sasaran memenangi 14 kerusi DUN dan 6 kawasan Parlimen kerana BN kini menuju di landasan yang betul.
“Saya percaya buat masa ini 55% pengundi India bersama BN-MIC dan angka akan terus melonjak dalam masa akan datang,” katanya.
“Dulu memang kita mempunyai perkara yang mengakibatkan kita kalah undi kepada pembangkang. Tetapi, ia sudah dikenal pasti. MIC kini sudah pun mengetuai nadi masyarakat India.”
Ketika ditanya mengenai kemungkinan sokongan India kepada BN, Subramaniam berpendapat bahawa calon pada PRU 14 akan menjadi salah satu faktor penting.
“Saya percaya calon tempatan akan menjadi satu faktor penting untuk MIC bagi terus meraih undi dikalangan kaum India. Ke mana sahaja kita pergi, salah satu permintaan daripada pengundi adalah mereka nak calon tempatan,” katanya.
“Mereka nak calon tempatan kerana senang berkomunikasi dan saling mengenali sejak kecil lagi,” ujar Subramaniam lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.