Oleh Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Adakah kerajaan negeri Pulau Pinang tidak perlu merujuk dan
meminta kebenaran daripada Bank Negara sebelum membuat sebarang pinjaman
dengan pihak luar, itu soalan dilontarkan oleh Presiden Parti
Alternatif Rakyat, Zulkifli Mohd Noor.
Bukan itu sahaja, malah Zulkifli turut kesal Ketua Menteri Pulau
Pinang, Lim Guan Eng cuba meletakkan negeri itu pada kedudukan
'berhutang' dengan pihak asing.
"Kerajaan dan Exco Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa, tidak
mempunyai hak untuk meminjam atau meminta pertolongan daripada negara
luar tanpa melalui kerajaan pusat atau Bank Negara, itulah kunci kepada
segalanya," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
"Pada mata Lim Guan Eng dan Parti DAP, kerajaan Pusat ini tiada duit.
Sebab itu dia nak pinjam dengan orang luar, seolah-olah negara kita ini
sudah bangsat, negara kita ini sudah tiada duit, negara kita sudah
bankrap.
"Jadi, dia kena pinjam dengan orang lain. Macam kitalah nak pergi
sekolah mak bapak dah tiada duit, mestilah pergi jumpa mak cik atau
siapa-siapa pinjam duit, macam itulah perangai dia," ujarnya lagi.
DUN Pulau Pinang sebelum ini meluluskan usul Guan Eng bersabit cadangan
membuat pinjaman daripada Bank Eksport-Import China untuk menjalankan
projek prasarana negeri itu.
Guan Eng ketika mempertahankan cadangannya berkata Pulau Pinang lebih
daripada mampu untuk membayar balik pinjaman dari bank kerajaan China.
Katanya, pakar kewangan kerajaan negeri sudah mereka model kewangan
untuk membayar semula pinjaman itu, yang bertujuan untuk membantu
membiayai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang
(PIP) bernilai RM47 bilion.
Pulau Pinang merancang untuk menebus guna tiga pulau di selatan negeri
itu untuk membiaya PIP, yang akan melibatkan pembinaan laluan trem,
jalan raya, lebuh raya dan pengangkutan jenis lain.
Pun begitu Zulkifli bertegas Guan Eng tetap perlu membentangkan kepada
kerajaan pusat, untuk dianalisis bagi merendahkan risiko kepada pembayar
cukai, negeri itu.
"Lim Guan dia tidak ada buat rujukan daripada orang-orang yang cerdik,
orang-orang yang tahu tentang sesuatu benda, tentang kewangan," ujarnya
lagi.
DUN Pulau Pinang 25 Mei lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU)
Pinjaman Negeri Pulau Pinang yang membolehkan negeri itu membuat
pinjaman daripada sebuah bank di China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.