ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahi bekas kakitangan
Menteri Besar Selangor (MBI) bersabit pemberian pampasan RM2.7 juta,
sedikit sebanyak membersihkan nama saya, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bekas menteri besar Selangor itu turut menyelar tindakan Datuk Seri
Azmin Ali yang secara semberono, bermotifkan politik serta berniat jahat
yang mahu mencalar imejnya.
“Sejujurnya saya tidak terkejut dengan keputusan mahkamah ini kerana
amat yakin saya telah menggunakan proses yang telus dan beretika di
dalam transaksi tersebut selaras dengan peruntukan di dalam Enakmen MBI
(Menteri Besar Pemerbadanan).
“Saya amat bersyukur keputusan yang dibuat pada hari ini kerana ianya
secara langsung telah membersihkan nama saya daripada tuduhan salah laku
ketika bertugas sebagai menteri besar,” katanya dalam kenyataan di
Facebook.
Mahkamah semalam memutuskan RM2.7 juta yang dibayar kepada tujuh
kakitangan pejabat Khalid, yang hilang pekerjaan apabila beliau
disingkirkan, sah.
Mahkamah menolak tuntutan pemulangan wang pampasan oleh Menteri Besar (Pemerbadanan), yang kini diketuai Azmin.
MBI mengemukakan tuntutan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI,
Faekah Hussin dan Rohani Talib, Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd
Talib, Rahimah Kamarudin, Abdul Halim Mohamed Yusof serta Tuan Nazuri
Tuan Ismail.
Mereka menerima pampasan itu sebagai ganti rugi apabila kontrak mereka
ditamatkan selepas Khalid dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar
pada September 2014.
Khalid tidak menolak “keghairahan” Menteri Besar Selangor meneruskan
tindakan saman tersebut sebagai usaha untuk “menutup kepincangan dan
ketirisan” dalam pentadbiran hari ini.
Khalid menyeru rakyat Selangor agar jangan penat menuntut pentadbiran kerajaan negeri yang telus.
Menurut beliau, sikap kerajaan negeri yang berdegil mahu mengambil alih
syarikat perkhidmatan air SPLASH pada harga RM2.8 bilion sedangkan
nilai ekuiti syarikat hanya RM800 juta menimbulkan banyak persoalan
integriti.
“Jika rancangan ini diteruskan rakyat akan menanggung kos yang sangat
tinggi dan tidak akan berpeluang untuk memiliki saham syarikat air yang
kini telah dimiliki kerajaan negeri.
“Rakyat perlu prihatin atas perbelanjaan yang telah dibuat dan
memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan dan nilai
yang setimpal,” tambahnya.
MBI menyaman tujuh orang bekas kakitangan berkenaan untuk mendapatkan
kembali pemberian wang pampasan itu, atas alasan jumlah yang dibayar
melebihi daripada yang sepatutnya diterima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.