ANTARAPOS.COM
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu 13
orang kenamaan bagi membantu siasatan kes cubaan menyogok Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah
kebesaran.
Kesemua mereka yang sudah dikenal pasti itu melibatkan golongan
kenamaan, berkedudukan dan kaya, lapor Utusan Online memetik SPRM.
SPRM percaya Tan Sri, pengasas dan penasihat sebuah syarikat perkapalan
di Johor Bahru, yang ditahan reman semalam berperanan sebagai ejen atau
orang tengah kepada individu terbabit bagi mendapatkan gelaran Tan Sri
dengan menawarkan RM2 juta kepada Sultan Ibrahim.
“Berikutan itu, mereka yang berkaitan diminta tampil untuk memberi
keterangan kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan,” kata laporan itu.
Pagi semalam, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan reman selama 5 hari bagi membantu siasatan berkenaan.
Lelaki berumur 54 tahun itu akan direman sehingga 4 April ini. Dia
disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. Akta tersebut
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda 5 kali ganda
nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Ahli perniagaan itu ditahan selepas menyerah diri di ibu pejabat SPRM,
Putrajaya kira-kira pukul 2 petang kelmarin susulan amaran yang
dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki
supaya dia segera menyerahkan diri.
Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran
sebanyak RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama
kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran Tan Sri daripada
Yang di-Pertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.