Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Seorang lagi pemimpin PAS tampil membidas kritikan Datuk
Zaid Ibrahim selepas ahli DAP itu mendakwa Kelantan tidak memerlukan
pemimpin yang berserban dan arif dalam ilmu agama sahaja.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata imej sedemikian adalah lebih baik dalam menjadikan seseorang
pemimpin itu bermotivasi, bermaruah dan berhati-hati mengenai soal halal
dan haram.
"Jawapan kepada pemimpin orang Islam yang sangat fobia terhadap jenama Islam.
"Keprihatinan pada hukum agama menggambarkan disiplin terhadap
undang-undang. Justeru itu negara sangat selamat dan sejahtera jika
dipimpin oleh pemimpin berserban dan prihatin hukum agama lagi bijak
mengurus dan memimpin," katanya dalam satu kenyataan.
Zaid beberapa hari lalu berkata sudah tiba masanya untuk rakyat
Kelantan, khususnya anak muda untuk membuat perubahan di negeri itu pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Tegasnya anak muda di negeri berkenaan perlu berani menolak kepimpinan
yang ada pada hari ini kerana nyata gagal dan tidak mampu membangunkan
Kelantan.
Malah bekas pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) itu
juga berkata pilihan raya bukan lagi tempat untuk memilih guru agama
atau mereka yang berserban sebagai pemimpin, sebaliknya tokoh yang
mempunyai kepakaran dan wawasan.
Zaid juga mengaitkan betapa Kelantan sangat mundur dari segi pelbagai bentuk kemajuan dan mempunyai banyak masalah sosial.
"Ada pun pemimpin yang melanggar hukum tuhan, tidak solat, tidak
mengenal masjid, minum minuman memabukkan yang dilarang oleh agamanya,
mereka boleh kehilangan jati diri yang membentengnya daripada perlakuan
rasuah, ketirisan perbelanjaan dan boros.
"Mereka boleh terlibat dengan nepotisme dan kronisme. Jika hukum Tuhan
boleh dilanggar apatah pula undang-undang negara," sanggah Khairuddin
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.