Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Tindakan seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman yang mengumumkan keluar parti,
membuktikan bahawa PPBM sebuah parti yang rapuh serta tidak mempunyai
wadah perjuangan yang kuat, kata Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk
Ismail Kijo.
Beliau turut percaya keputusan yang dibuat oleh Kamarulazman itu
berpunca daripada kelemahan kepimpinan serta krisis dalaman parti itu
sendiri.
"Saya tgk Kamarulazman ni, bagi saya kerana dia tiada keyakinan dalam
parti itu sendiri tambahan pula apabila dia tidak ada keyakinan kepada
pemimpin-pemimpin yang ada.
"Kalau kita tengok, PPBM macam rapuh sangat dan tidak ada perjuangan,
perjuangan mereka adalah kerana mereka gagal dan keluar daripada parti
yang mereka dukung selama ini iaitu Umno tetapi bila dia tiada tempat,
di situ dia nak menunjukkan satu platform sebagai wadah perjuangan,
tetapi wadah perjuangannya tiada kekuatan kerana tidak ada satu benda
yang diperjuangkan," ulasnya.
Malah Ismail berpendapat, PPBM adalah parti yang paling lemah di dalam
Pakatan Harapan (PH), justeru beliau percaya parti tajaan Tun Dr
Mahathir itu sukar untuk memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Saya yakin bahawa krisis di dalam parti itu akan melenyapkan PPBM
bukan sahaja mereka akan dapat peluang dalam pilihan raya, bagi saya
kebarangkalian untuk mendapat tempat dalam pilihan raya dengan
kerusi-kerusi tertentu pun saya rasa macam tidak berapa yakin," katanya
lagi.
Terdahulu awal hari ini, Kamarulazman yang merupakan Setiausaha Kerja
dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM mengumumkan keluar parti selepas
kecewa dengan krisis dalaman parti tersebut.
Kamarulazman juga kecewa apabila ada pihak di dalam parti itu yang
bekerja demi kedudukan, malah berbaik-baik dengan pemimpin tertinggi
demi kepentingan peribadi.
Beliau juga menegaskan bahawa tidak akan menyertai kembali Umno,
sebaliknya akan bergerak aktif di dalam Gerakan Ketua Cawangan Malaysia
(GKCM) yang digerakkannya sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.