ANTARAPOS.COM
JOHOR BAHRU: Beberapa individu dijangka akan didakwa berhubung kes
rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata
buat masa ini, pihaknya dan Timbalan Pendakwa Raya sedang memperkemaskan
beberapa elemen siasatan.
"Saya tidak akan dedahkan nama-nama mereka. Cukup saya katakan mereka
yang bakal didakwa adalah dalam kalangan mereka yang pernah ditangkap
berhubung kes ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas
menghadiri satu mesyuarat operasi bersama Pengarah Siasatan SPRM Datuk
Simi Abd Ghani dan Pengarah SPRM Negeri Datuk Azmi Alias di sini hari
ini.
Azam turut menolak spekulasi bahawa ada orang kenamaan (VIP) yang akan didakwa.
"Jangan buat sebarang spekulasi mana-mana pihak VIP terlibat dan
sebagainya. Tidak ada tetapi (yang akan didakwa) dalam kalangan mereka
yang pernah ditangkap.
"Ada juga kemungkinan yang dituduh hari ini akan dihadapkan semula ke
mahkamah dan ada rakan mereka yang akan dituduh sekali," kata Azam.
Pagi tadi, Exco kerajaan negeri Datuk Abd Latiff Bandi bersama seorang
perunding hartanah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 33
pertuduhan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta.
Tertuduh, 51, bersama Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, bagaimanapun
mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim
Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Selain Abd Latif dan Amir Shariffuddin, SPRM pernah menahan enam
individu lain termasuk anak lelaki Abd Latif, pegawai khas Abd Latif,
seorang orang awam, dua pemaju dan seorang peguam bagi membantu siasatan
berhubung kes itu.
Sementara itu, Azam berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri atas kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.