Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Terpulang kepada kebijaksanaan Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Azmin Ali untuk melantik Amanah menggantikan tempat PAS dalam
kerajaan negeri atau tidak, ujar Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar
Mohd Tahir.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan PAS
Selangor bahawa Amanah akan menggantikan tempatnya, jika sah partinya
memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR.
"Bagi Amanah, kita selama ini pun tidaklah membuat tuntutan yang berlebihan. Kita pulangkan kepada kebijaksanaan Selangor.
"Kalau PAS sudah memutuskan dalam resolusinya pada Muktamar bahawa
putus, maka tidak ada maknanya kehadiran mereka dalam kerajaan Selangor,
sama ada sebagai Exco, Ahli Majlis, Penghulu, Ketua Kampung dan semua
jawatan lantikan politik oleh kerajaan negeri, mereka mesti meletakkan
jawatan.
"Soal penggantinya, soal lain," kata beliau ketika dihubungi Antarapos.
Naib
Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad hari ini berkata beliau tidak
bimbang kehilangan jawatan Exco, tetapi lebih bimbang jika peranan PAS
di Selangor diambil alih oleh Amanah.
Ia berikutan semakin banyak PAS peringkat kawasan meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR.
Selangor pada ketika ini ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat (PR) antara
PAS, PKR dan DAP yang menang sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
yang lalu.
Mohd Anuar kemudiannya menambah, Amanah sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab sekiranya diminta menggantikan PAS.
"Amanah bersedia sekalipun di peringkat nasional, apalah (jika
dibandingkan) dengan negeri. Kalau kita nantinya ditakdirkan membentuk
kerajaan baru, Amanah sudah tentu akan berada dalam kabinet menurut
kemampuan yang ada pada kita. Di peringkat negeri, lagilah kita
bersedia," ujar beliau.
Dalam
pada itu, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi
Antarapos yakin partinya sudah bersedia jika diminta menggalas
tanggungjawab menggantikan PAS di Selangor.
"Ya kita mengikuti rapat, dan kita sebutkan dalam ucapan kita, saya
sendiri dalam ucapan penggulungan semasa Konvensyen Amanah pada Disember
lalu, kita sebut bahawa kewujudan Amanah adalah untuk kita menggantikan
PAS, maksudnya mana-mana kerusi PAS bertanding, Amanah akan letak
calon.
"Kita memang sudah bersiap siaga dengan apa jua perkembangan politik dalam negara khususnya negeri Selangor," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.