Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Jawatankuasa PAS Pusat berkemungkinan akan bermesyuarat
sebelum Himpunan RUU 355 pada 18 Februari ini untuk mencapai pendirian
berhubung kerjasama partinya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM).
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun
berkata, sebarang tarikh bermesyuarat akan diumumkan oleh Setiausaha
Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
"Mungkin sebelum (Himpunan 355), barangkali. Namun kita kena tunggu tarikh daripada Setiausaha Agung.
"Ia (mesyuarat) mesti diadakan bulan ini," katanya ringkas kepada Antarapos, hari ini.
Rabu lalu, PAS dan PPBM mengadakan mesyuarat secara rahsia di ibu
negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh
kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada
satu tarikh terdekat.
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa
teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang
dipersetujui.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya menjangkakan
jalan kerjasama antara partinya dengan PAS akan merintis usaha ke arah
penyatuan parti-parti pembangkang yang lebih kukuh bagi menghadapi
Barisan Nasional (BN).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan mesyuarat di
antara dua parti itu pada Rabu lalu sebagai pertemuan 'biasa' atas
permintaan PPBM, dan bukan perundingan khusus.
Malah beliau berkata mesyuarat berkenaan belum lagi membawa ke arah kerjasama PAS-PPBM.
Diajukan hal itu, Mustafa menjelaskan kenyataan Hadi mungkin disalah
tafsir sesetengah pihak, sedangkan pemimpin partinya itu mahu sebarang
keputusan yang bakal dicapai PAS perlu dibincang secara mendalam
menerusi mesyuarat parti.
"Media yang sebut begitu. Hadi tak sebut begitu.
"Hadi tahu, cuma keputusan itu akan dibawa ke pimpinan tertinggi," kata Mustafa.
Sebagaimana ditegaskan berulang kali, Hadi dalam kenyataan terbaru itu
turut menyebut PAS tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai
hubungan dengan DAP dan Amanah.
Beberapa pemimpin PAS, termasuk Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan
menyifatkan kerjasama PAS-PPBM masih belum muktamad dan masih berada di
peringkat perbincangan.
Manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula
menyifatkan jalan ke arah kerjasama PAS-PPBM masih jauh, kerana apa jua
bentuk cadangan perlu terlebih dulu diteliti Jawatankuasa PAS Pusat
sebelum dibawa ke majlis syura ulama (MSU).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.