Jumaat, 3 Februari 2017

Pembangkang, NGO demo depan kedutaan AS bantah sekatan Trump

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Presiden Donald Trump yang melaksanakan sekatan kepada tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu.
 
Himpunan yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan yang mendesak Amerika Syarikat untuk menarik balik sekatan berkenaan.
 
Dalam memorandum ini menyebut Trump telah melakukan satu tindakan bersifat perkauman dan diskriminasi agama terhadap masyarakat Islam yang dilanda konflik akibat perang dan penaklukan yang dibuat Amerika Syarikat.
 
Memorandum ini diserahkan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu bersama Presiden Kesatuan Antarabangsa Belia Sosialis DAP Howard Lee kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.
 
"Kita nyatakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh Donald Trump yang mengarahkan terhadap 7 buah negara dan juga hak-hak asasi manusia terjejas di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia. Amerika yang sepatutnya mempertahankan dalam hal hak asasi, sekarang dia terbalik," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
 
"Arahan Trump itu jelas sebagai diskriminasi dan melanggar hak asasi manusia. Walaupun ia secara jelas tidak menyatakan sekatan itu ditujukan kepada umat Islam. Mengikut Seksyen 5B secara jelas menyatakan untuk mengutamakan tuntutan pelarian yang dibuat oleh individu di atas dasar penganiayaan berasaskan agama individu tersebut," menurut Lee.  
 
Pemimpin pembangkang yang yang hadir adalah Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.         
 
Antara wakil NGO lain yang bersama-sama dalam himpunan ini adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Malaysian Progressives in Australia (MPOZ) dan lain-lain lagi.
 
Trump pada minggu lalu mengeluarkan arahan untuk membekukan kemasukan pelarian dari warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria termasuk Yaman selama empat bulan.
 
Trump berkata, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.
 
Arahan berkenaan dilaksanakan bertujuan mengutamakan pelarian yang melarikan diri daripada penindasan agama, dan Trump pernah berkata ia untuk membantu warga Syria beragama Kristian.
 
Ia berkuatkuasa serta-merta dan mencetuskan kekeliruan kepada warga tujuh negara yang merancang ke negara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.