SHAH ALAM: DAP mempersoalkan pendirian PAS berhubung rundingan
kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam menghadapi
pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang dipetik Malaysiakini berkata,
ini kerana kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam
bercanggah dengan keputusan mesyuarat pada Rabu lalu antara PPBM-PAS.
Mesyuarat antara dua parti itu berlangsung secara rahsia dua hari lalu
yang mana PPBM diwakil Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,
manakala PAS turut diwakili Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man.
Guan Eng berkata Mukhriz berjumpa dengan beliau semasa menghadiri di
Rumah Terbuka Pakatan Harapan di Alor Setar, Kedah malam semalam dan
menjelaskan perkara itu kepadanya.
"Mukhriz seolah-olah keliru berhubung perkara itu, kita akan
membincangkannya pada 7 Februari apabila kita berjumpa di Kuala Lumpur,"
katanya.
Guan Eng berkata demikian mengulas soalan mengenai pendirian DAP
berhubung pertemuan PAS dan PPBM untuk membentuk satu jawatankuasa induk
untuk membincangkan kerjasama dalam PRU14.
Hadi semalam dilaporkan berkata, pertemuan antara partinya dengan PPBM
pada Rabu lalu, belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, pertemuan berkenaan adalah pertemuan
biasa atas permintaan PPBM, dan bukan suatu perundingan khusus.
Kenyataan Hadi itu muncul ketika mana pemimpin pembangkang lain
menyambut baik perkembangan daripada pertemuan PAS-PPBM yang pada mereka
memberi satu 'harapan' baru.
Justeru Guan Eng melahirkan harapan bahawa keputusan untuk bekerjasama
atau sebaliknya antara kedua-dua parti akan dibuat secepat mungkin.
"Kami berharap untuk mendengar keputusan itu pada kadar segera, dan
bukan hanya melalui media, kerana kita adalah sekutu, dan ini menjadi
amalan Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.