Ahad, 1 Januari 2017

MPK tak mohon permit pertunjukan bunga api - Polis

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 KLANG: Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak memohon sebarang permit bagi pertunjukan bunga api ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, malam tadi.
 
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden yang mencederakan 14 pengunjung ketika sambutan itu. 
 
"Kesemua mangsa yang menerima rawatan sebagai pesakit luar dibenarkan pulang setelah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Pertunjukan bunga api itu merupakan sebahagian daripada program Fiesta Gegar Klang anjuran MPK yang berlangsung dari 30 Disember hingga Ahad.
 
Selain pertunjukan bunga api, program lain yang dijadualkan sepanjang fiesta itu termasuk jualan gerai, trak makanan, persembahan badut, persembahan motosikal, senamrobik perdana dan kayuhan santai basikal.
 
Alzafny berkata, MPK selaku penganjur sepatutnya memohon permit bagi mengadakan pertunjukan bunga api itu.
 
Dalam kejadian itu, seramai 14 pengunjung iaitu 10 dewasa dan empat kanak-kanak melecur akibat terkena serpihan letupan bunga api.
 
Difahamkan bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara. 
 
Terdahulu, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman bagi menyiasat insiden berkenaan.
 
Mohamad Yasid berkata, langkah keselamatan diutamakan sepanjang program itu yang dihadiri kira-kira 15,000 orang.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.