Ahad, 1 Januari 2017

Rakyat perlukan reformasi ekonomi dalam perumahan, pengangkutan dan kesihatan, bukan hanya BR1M


Roketkini.com

KLUANG: Langkah terbaik bagi meningkatkan pendapatan 60 peratus golongan berpendapatan terendah adalah dengan membuat reformasi ekonomi, terutamanya melibatkan tiga sektor, iaitu perumahan, pengangkutan awam dan kesihatan.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, sebahagian besar 60 peratus golongan berpendapatan terendah membelanjakan wang pendapatan untuk ketiga-tiga urusan tersebut.

Oleh itu, jelasnya, jika kesemua perbelanjaan itu dapat dikurangkan, golongan tersebut mampu mengecapi kualiti kehidupan yang lebih baik. Malah, pendapatan boleh guna mereka dapat ditingkatkan.

“Hal ini akan memberi kesan positif terhadap perkembangan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Pengerusi DAP Johor itu menegaskan bahawa kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak wajar bersikap buas menjual rumah kepada rakyat terbanyak atas dasar keuntungan semata-mata.

“Sebaliknya mereka harus bertindak dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab untuk menyediakan perumahan yang mampu dan selesa.

“Ironinya, antara pemaju yang berada pada ‘ranking’ tertinggi membuat keuntungan menerusi projek hartanah adalah syarikat berkaitan kerajaan!” ujarnya.

Bagi sektor pengangkutan awam pula, katanya, kerajaan mesti memastikan bahawa kemudahan pengangkutan awam yang disediakan benar-benar memanfatkan rakyat, dan bukannya demi faedah kontraktor.

Caranya adalah dengan menyediakan tambang yang berpatutan di samping servis yang cekap agar rakyat tidak lagi dibebani lambakan hutang akibat kos penyelenggaraan kereta dan petrol.

“Jika pengangkutan awam cukup efisyen, ia dapat menjadi alternatif utama kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah,” jelasnya.

Chin Tong menambah, perkara sama turut berlaku dalam sektor kesihatan apabila banyak hospital swasta di Malaysia dimiliki GLC seperti Khazanah dan Sime Darby.

“Dwi sistem dalam aspek kesihatan ini telah menyebabkan rakyat terbanyak turut memilih perkhidmatan serta kepakaran ditawarkan di hospital swasta sekalipun terpaksa membayar kos yang tinggi.

“Meskipun pahit, kita terpaksa menelan hakikat terdapat rakyat berpendapatan rendah yang terpaksa membuat pinjaman untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Kesannya, komitmen bayaran balik pinjaman tersebut sudah pasti memakan tahun. Hal ini memberi kesan penyusutan kepada pendapatan boleh guna isi rumah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Chin Tong menegaskan bahawa pemberian saguhati seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah penyelesaian ampuh kepada kemelut kewangan yang menimpa 60 peratus golongan berpendapatan terendah seperti yang diwar-warkan kerajaan UMNO Barisan Nasional.

Menurutnya, apabila Pakatan Rakyat pada 2011 tampil dengan pakej reformasi ekonomi yang mahu menjaga kebajikan sosial rakyat terbawah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi respon dengan melancarkan BR1M.

“Dari konteks pilihan raya, saya terpaksa akui bahawa BR1M dan pendekatan ‘cash is king’ sangat berkesan untuk UMNO – Barisan Nasional berhadapan PRU 2013.

“Pun begitu, dalam keadaan di mana peluang pekerjaan yang baik dan berbaloi amat sukar didapati, peningkatan kos sara hidup yang amat tinggi, cukai GST yang menjerut dan pelbagai lagi kelemahan urustadbir yang wujud hari ini, BR1M tidak lagi mampu menjadi senjata Najib memenangi hati dan memenuhi keperluan rakyat,” tegasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.