Ahad, 1 Januari 2017

Terlalu awal label PPBM parti bermasalah - penganalisis

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Terlalu awal untuk melabelkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berdepan dengan kemelut, kata penganalisis politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain.
 
Atory berkata demikian sebagai mengulas pendedahan yang dibuat bekas ahli parti itu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa PPBM kini dilanda kemelut ekoran rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan presidennya, Tan Sru Muhyiddin Yassin.
 
"Saya rasa masa ini tidak boleh katakan kemelut dalaman, (saya) tidak fikir begitu. Kita kena sabar jangan ikut budaya Umno. Dia (Khairuddin) sukalah budaya ini. (Budaya) mengada-adakan cerita. 
 
"Kita tidak boleh buat satu kesimpulan bahawa ini kemelut dalaman, belum masanya lagi," katanya kepada Antarapos.
 
Muhyiddin kini dipercayai sedang bercuti di Eropah.
 
Khairuddin yang juga, bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu mendakwa tindakan presiden PPBM itu bercuti hanya akan merencatkan gerak kerja ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi.
 
Merujuk kepada kenyataan itu, Ahmad Atory berkata sebagai orang luar Khairuddin tidak sepatutnya masuk sudahpun 'angkat kaki' pada 28 Oktober lalu.
 
"Datuk Khairuddin tidak sepatutnya membuat teguran itu sebab dia bukan lagi ahli BERSATU (PPBM), apa yang dia nak ceritakan. Kalau betul dia nak kritik, kena berhubung dengan Tan Sri (Muhyiddin) dulu dimana dia berada sekarang," katanya.
 
Lebih lanjut, Khairuddin hanya akan mengeruhkan keadaan dan kepercayaan ahli kepada Muhyiddin yang dipertanggungjawabkan oleh Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengepalai parti itu dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak, ujar Atory.
 
"Yang dia (Datuk Khairuddin) kritik sana sini tu buat apa? Mengeruhkan keadaan. Adakah dia sudah menghubungi Tan Sri. Kena cakap terang-terang suruh Muhyiddin balik, buat apa lama sangat diluar negeri. Kalau dia tidak mahu balik itu barulah kritik," ujarnya lagi.
 
PPBM juga dipalit kontroversi berhubung isu 'pengguguran' Anina Saadudin sebagai Ketua Srikandi selain pengumuman bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor yang bertindak keluar dari parti berkenaan.
 
Ezam hanya menyertai PPBM selama hampir tiga bulan sahaja, selepas keluar daripada Umno pada 2 Oktober 2016.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.