OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat
pemindahan di daerah Sabak Bernam meningkat sedikit kepada 356 orang
setakat 8 pagi ini, berbanding 352 orang malam tadi.
Menurut Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam, jumlah mangsa di
Dewan Sri Bernam bertambah kepada 164 orang daripada 48 keluarga,
berbanding 160 mangsa daripada 46 keluarga malam tadi.
Bagaimanapun, mangsa banjir di Dewan Parit Baru dan Dewan Sri Nakhoda
tidak berubah sejak malam tadi iaitu masing-masing 163 orang daripada
51 keluarga dan 29 orang daripada lapan keluarga.
Semalam, seramai 83 anggota tentera Rejimen Askar Melayu Diraja
(RAMD) dihantar ke Pusat Pemindahan Banjir Dewan Kampung Parit Baru.
Pasukan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu akan bergotong-royong memasak di
pusat pemindahan berkenaan dan akan membantu kerja pembersihan rumah
penduduk terjejas jika banjir reda.
Kerja membantu mangsa banjir di Sabak Bernam itu adalah kali pertama
disertai RAMD yang selama ini terlibat dalam operasi membantu mangsa
banjir khususnya di Pantai Timur.
Laporan dikemukakan Unit Bencana Negeri Selangor menunjukkan jumlah
taburan hujan pada Isnin hingga Selasa lalu jauh lebih besar daripada
apa yang berlaku sebelum ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, purata
taburan hujan meningkat iaitu mencecah 240 milimiter (mm) dalam tempoh
sembilan jam yang dicatatkan pada Isnin lalu.-nR-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.