OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya lapan premis makanan ditutup
sementara sempena Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan Majlis
Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sekitar Pusat Komersial, Seksyen 7,
semalam.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata,
tindakan penutupan sementara diambil atas kesalahan di bawah Akta
Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-Undang Kecil (UUK)
Establisyemen Makanan MBSA 2007.
Katanya, MBSA turut mengeluarkan tujuh notis dan 11 kompaun terhadap
premis makanan terlibat atas kesalahan seperti tiada suntikan
anti-Typhoid (TY2) dan membuang sisa makanan ke dalam longkang.
“MBSA sentiasa mengambil langkah menguatkuasakan peraturan serta
mengeluarkan notis dan kompaun kepada premis yang gagal mematuhi syarat
dan peraturan.
“Kami
juga tidak akan berkompromi dengan isu kebersihan dan tidak
teragak-agak menutup premis makanan sekiranya terdapat urungan lipas
atau tikus ataupun premis makanan yang mempunyai rating kebersihan di
bawah 50 peratus,” katanya.
Shahrin berkata, MBSA sentiasa mengadakan operasi secara berkala bagi
memastikan kebersihan premis dan pengendalian makanan berada pada tahap
tertinggi.
“Penyediaan makanan tidak bersih boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti demam tifoid, kolera dan keracunan makanan.
“Setiap
premis makanan diingatkan supaya menjaga kebersihan serta mengamalkan
pengendalian makanan betul serta memastikan pembantu kedai mendapat
suntikan TY2 dan menghadiri kursus pengendalian makanan,” katanya.
Diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Norhisham Muhammad, operasi
turut disertai Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.
Notis dan kompaun dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK)
Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil (UUK) Pengendalian
Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan
dan Perindustrian MBSA 2007, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dan
Akta Kerajaan Tempatan 1976.-nR-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.