Oleh Haizal Yatiran
KUALA LUMPUR: Pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Nasir Tun
Sakaran berkata banyak dokumen parti didapati dimusnahkan oleh kumpulan
tertentu setelah ketua dahulu, Datuk Seri Shafie Apdal meninggalkan
Umno.
Nasir berkata, beliau dan ahli jawatankuasa lain mengambil masa hampir dua bulan untuk menyusun semula fail-fail dan pejabat.
Ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU2016) di Pusat Perdagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, beliau berkata, itu antara cabaran
paling besar di hadapi setelah Shafie keluar parti.
"Keadaan kita di Semporna sudah pulih seperti sedia kala. Peringkat
awalnya Shafie keluar Umno memang banyak yang mungkin risau atau
kekeliruan terutama sekali ahli di Bahagian Semporna.
"Setelah kita susun kembali dan ia mengambil masa hampir dua bulan. Kita di peringkat pejabat kita sediakan pejabat baru.
"Selain itu fail-fail juga kita kena cari daripada pejabat perhubungan
Sabah dan pusat dan fail-fail lama tidak dikembalikan mungkin
dimusnahkan pihak keluar Umno," katanya.
Namun, beliau yang kini menerajui Umno bahagian tersebut bagaimanapun
berjaya mengatasi cabaran tersebut malah bersedia untuk menghadapi
pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ketika diminta mengulas lanjut berkenaan tindakan kumpulan bekas Umno
Semporna itu, beliau menjangkakan bahawa kumpulan tersebut mahu
menggunakan dokumen berkenaan sebagai rujukan untuk menubuh parti baru
mereka.
Shafie keluar Umno setelah keahliannya digantung ekoran tindakannya
mengkritik secara terbuka kepimpinan presiden party, Datuk Seri Najib
Razak.
Beliau kemudian menubuh parti WARISAN yang berasaskan politik tempatan bersama beberapa pemimpin pembangkang Sabah lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.