Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan
untuk menjaga DNA parti masing-masing agar sokongan pengundi khususnya
bukan Melayu akan kembali kepada mereka, tegas Naib Presiden Umno, Datuk
Seri Dr Ahmad zahid Hamidi.
Ujarnya, parti-parti komponen tidak wajar 'bergantung' sepenuhnya kepada BN untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengundi.
Zahid berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden
MCA, Datuk Seri Liow Tiong bahawa kegagalan meraih undi pengundi bukan
Melayu adalah 'masalah BN' dan bukan masalah parti komponen semata-mata.
"Iya, Kita mempunyai ahli parti masing-masing dan kita harus jaga DNA kita mengikut keahlian parti masing-masing.
"Saya bersetuju pandangan itu (Liow) tetapi kita harus menggamit semula
DNA parti masing-masing untuk bersama mendokong calon BN," katanya
dalam sidang media di Perhimpunan Agung Umno 2016 (PAU2016) hari ini.
Liow semalam dilaporkan berkata, parti-parti komponen BN tidak harus dipersalahkan kerana trend pengundian masyarakat Cina.
Ujarnya, semua parti-parti komponen bertanding sebagai calon BN dalam
pilihan raya dan keputusan yang terhasil adalah daripada usaha bersama
semua pihak.
Dalam pada itu tambah Zahid, sekarang bukan masa yang sesuai untuk menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.
Sebaliknya kata beliau, adalah menjadi tanggungjawab bersama kepada
setiap parti komponen BN memberikan sokongan kepada mana-mana calon yang
diangkat mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
akan datang.
"Jadi ini harus difahami atas rasa kebersamaan antara parti-parti
komponen BN. Kita tidak perlu menuding jari tetapi saya fikir kita mesti
mengambil beberapa langkah positif untuk berada di dalam satu pemikiran
bahawa siapa sahaja dicalonkan mewakili BN semua jentera parti harus
bekerjasama dengan kuat untuk memperkasakan semua calon kita untuk
kemenangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.