Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Umno dan
PAS sedia dan boleh bekerjasama menurut prinsip ta’awun dan tabayyun.
Bagaimanapun kedua-dua pihak akur bahawa buat masa ini untuk menjalin
hubungan politik atau tahaluf siyasi adalah hampir mustahil.
Ini kerana PAS baru sahaja pulih daripada pengalaman pahit tujuh tahun
menyulam tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP. Dalam hubungan itu PAS
ditalak dari Pakatan Rakyat melalui tindakan unilateral DAP.
Lebih memedihkan PAS ialah satu lagi kerabat PKR yang dipimpin Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hanya bungkam, kelu dan hanya
memerhatikan sahaja tindakan DAP itu.
PKR hanya berharap umum akan faham betapa sukar baginya mencampuri
sengketa di antara PAS dan DAP tahun lalu kerana ia mempunyai
kepentingan memelihara hubungan baik dengan kedua-dua parti berkenaan.
PKR terjebak maksud pepatah “ditelan mati emak, diluah mati bapa”. Ia
memerlukan kerjasama DAP dan PAS bagi memastikan kerajaan negeri
Selangor yang dipimpinnya tidak goyah.
Maka maksud tahaluf siyasi yang diamalkan PKR menjadi sketsa orang
beristeri dua – kerap tidak jujur kepada kedua-dua isterinya “demi
memelihara keharmonian rumahtangga”.
PAS bertaklid pada konsep tahaluf siyasi demi menjalin hubungan politik
dengan DAP walaupun ia menghidu parti itu berpenyakit Islamofobia dan
PKR pula enggan mengaku ia parti Islam. Namun PAS perlu formula baru
untuk meneruskan perjuangannya.
PAS nekad mulakan langkah baru untuk survival politik
Setelah bermuhasabah PAS insaf ia harus bertindak matang dan
mengamalkan politik sejahtera bak kata pepatah “menarik rambut dalam
tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”.
Sasaran PAS ialah menerbitkan kesejahteraan bagi setiap ikhtiar
politiknya. Puas ia mencari padanan di kalangan parti politik sedia ada
dan akhirnya menjalin kerjasama dengan IKATAN dan BERJASA.
Namun PAS maklum buat masa ini kedua-dua parti itu kurang mampu memberi
nilai tambah pada perjuangannya kerana ia memerlukan untuk mekar
sedangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah amat terasa hadirnya.
PAS
ada pilihan. Satu, kerjasama dengan parti baru, Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) yang dipimpin bekas musuh ketatnya, Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Namun PAS tidak lupa sikap kasar Mahathir terhadap PAS ketika menerajui
Umno. Mahathir sering mengejek dan memperlekehkan PAS, terutama bekas
Mursyidul Amnya, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Justeru PAS tidak ghairah memilih PPBM. Mungkin yang amat teruja mahu
bekerjasama dengan Mahathir ialah bekas Ketua Penerangannya, Datuk
Mahfuz Omar yang hadir dalam hampir setiap acara Mahathir.
Kedua, PAS boleh menyahut sapaan PKR. Di Selangor PAS masih bekerjasama
mentadbir negeri itu. Lantas agak munasabah PAS menggabungkan diri
dengan strategi politik Pakatan Harapan melalui PKR.
Bagaimanapun PAS masih belum boleh lupa “kedurjanaan” politik dua lagi
kerabat Pakatan Harapan – DAP dan AMANAH. DAP sudah mengisytiharkan
tidak perlu PAS dalam kamus politiknya. Sementara dalam kes AMANAH, PAS
enggan berkawan dengannya.
Walaupun PKR berikrar untuk terus memujuk PAS bersama melaksanakan
projek politik ‘satu lawan satu’ menentang Umno-BN, namun PAS masih
belum betah dengan AMANAH yang didirikan oleh “pengkhianat” perjuangan PAS.
Ketiga, PAS boleh pilih Umno. Perihal Umno, seperti PAS kini berhadapan
dengan pengkhianat-pengkhianat perjuangannya adalah rahsia umum. Ia
menghadapi PPBM sementara PAS pula berhadapan AMANAH.
Namun sebaliknya jika PAS bersatu tenaga dengan Umno, banyak laba politik yang dapat digarapnya.
Umno parti Melayu-Islam terbesar di negara ini dengan keahlian hampir
3.5 juta. PAS pula ialah parti Melayu-Islam kedua terbesar dengan ahli
hampir 1 juta orang.
Jika mereka bekerjasama, mudahlah kedua-duanya menundukkan parti-parti
yang dipimpin oleh majoriti Melayu seperti PKR dan Amanah serta PPBM.
Biarpun jadi parti pingitan, PAS tidak gopoh
Namun PAS tetap berhati-hati memilih pasangan politik. Masih ada
kalangan ahli PAS yang menganggap Umno sebagai musuh kerana sukar
menukar persepsi bahawa Umno “kurang jelas perjuangan Islamnya”.
Begitu yakin golongan ini akan perbezaan PAS dengan Umno sehingga
Allahyarham Nik Aziz pernah menyatakan bahawa jika Umno sanggup
menjadikan Islam asas perjuangannya, PAS sanggup bubar dan membantu
Umno.
Keadaan agak berbeza sekarang. Sedikit demi sedikit Umno semakin
berhasil membuktikan bahawa yang menerajui Pakatan Harapan kini ialah
DAP.
Bukan
sahaja ia mempunyai kerusi Dewan Rakyat terbanyak, ia juga kelihatan
semakin alergik terhadap apa sahaja isu poliik yang berkaitan Islam.
Dalam menghadapi cabaran dari kalangan bekas ahli-ahlinya yang berusaha
menjatuhkan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Umno kini didorong
dan hanyut lebih dekat pada pusar pemikiran Islam.
Berpaksikan konsep wassatiyah dan usaha mewujudkan Indeks Syariah bagi
menilai prestasi kementerian dan jabatan kerajaan Umno sebenarnya
semakin gesit melangkah ke sfera pemikiran Islam.
PAS sendiri yang sudah lebih suku abad mentadbir Kelantan tidak
bergerak ke arah pemikiran sedemikian. Lantas ini membuka peluang pada
kedua-dua parti untuk mengeratkan lagi kerjasama meranumkan idea
perpadun demi rakyat.
Masih banyak perkara yang perlu diperkemaskan jika PAS sudi menyambut
seruan perpaduan yang dibuat oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak
khamis lalu.
Di satu sisi kelebihan Umno ialah ia berpengalaman mentadbir keperluan
rakyat bukan Melayu-Islam dengan berkesan. Iklim kerjasama dengan MCA,
Gerakan, MIC, PBB, PBS dan seumpamanya seharusnya meyakinkan PAS bahawa
Islam boleh menyatu rakyat pelbagai kaum dan agama.
PAS harus insaf bahawa kefahaman dan penghayatan Umno mengenai konsep
ta’awun dan tabayyun semakin meningkat dan ini seharusnya menatijahkan
sesuatu yang lebih baik berbanding tahaluf siyasi dengan DAP yang gagal dek Islamofobianya.
Bekerjasama dengan Umno PAS akan meninggalkan kesan besar dalam
mengukuhkan perpaduan umat Melayu-Islam. Malah ia juga akan memperbaiki
lagi konsep “PAS for All” yang dijaja bersama DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.