Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Walaupun keputusan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan keluar
daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agak 'pelik' namun ia
berkemungkinan merupakan satu strategi politik yang tersendiri.
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani,
meskipun terdapat desas desus mengatakan sikap berpuak-puak yang wujud
dalam PPBM menjadi punca Khairuddin 'angkat kaki', namun ia 'kurang
kukuh' memandangkan matlamat setiap ahli begitu konsisten, iaitu untuk
menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
"Saya nampak ia lebih kepada strategi, mungkin ada satu yang beliau
tengah rancang, jadi mungkin beliau rasa sesuai berada di luar
berbanding di dalam parti.
"Setakat ini saya lihat agak selari (matlamat), kalau ada krisis,
mereka akan mengkritik sesama sendiri, tapi setakat ini nampak selari,"
katanya kepada Antarapos.
Azizuddin berkata, strategi politik adalah sesuatu yang sangat tidak
dapat dijangkakan meskipun pada luarannya menampakkan seolah-olah PPBM
mempunyai krisis dalaman.
Khairuddin yang juga orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan
keluar daripada PPBM semalam, selepas sebulan bergelar ahli parti itu.
Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan itu berkata, keputusan menarik diri
dari parti berkenaan bagi memberi fokus kepada kes-kes mahkamah yang
dihadapinya termasuk kes dalam dan luar negara yang membabitkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataanya semalam, Khairuddin turut berpesan agar ahli parti
itu tidak mengamalkan sikap berpuak-puak, sekaligus menimbulkan tanda
tanya bersabit tindakannya keluar parti.
Meskipun begitu, pelbagai pihak melihat tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan krisis dalaman parti berkenaan.
Beberapa portal sebelum ini melaporkan, krisis berpunca daripada sikap
beberapa pimpinan berebut jawatan di peringkat negeri dan pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.