Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang 'dianaktirikan'
pimpinan pusat parti itu dikatakan menjadi punca kepada perletakan
jawatan beramai-ramai di kalangan pemimpin parti di negeri berkenaan.
Seorang bekas ahli PKR Sabah yang enggan dinamakan mendedahkan,
pimpinan PKR yang hanya memberi fokus kepada pergerakan parti di
peringkat pusat, menyukarkan PKR Sabah untuk menjalankan kerja-kerja
parti.
Malah, paling malang, menurut sumber tersebut, pemimpin tertinggi parti
yang berpusat di semenanjung tidak pernah tampil ke Sabah untuk bertemu
dengan ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti itu.
"PKR hanya memberi fokus kepada pusat. Kami (PKR Sabah) diperlakukan seperti anak tiri, sebab tu kami semua keluar parti.
"Dari semua segi. Pimpinan tidak pernah datang tunjuk muka, bantuan
kewangan untuk gerak kerja dan sebagainya. Kami bekerja sendiri tanpa
bantuan pusat. Tapi hasil kerja keras kami, PKR (pusat) yang dapat
nama," menurut sumber berkenaan.
Bekas Pengerusi PKR sabah, Datuk Seri Lajim Ukin sebelum ini bersama
ADUN Moyog, Terrence Siambun mengisytiharkan keluar parti pada 2 Oktober
lepas.
Turut mengikut jejak Lajim dan Terrence adalah bekas Setiausaha Agung
PKR Sabah, Datuk Maijol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah Johair Matlani.
Terrence yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah kemudian bertindak
menyertai parti baru yang diasaskan oleh Bekas Naib Presiden Umno, Datuk
Seri Shafie Apdal, iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Lajim bagaimanapun sebelum ini mengesahkan tindakannya keluar parti
dibuat selepas mengambil kira desakan rakyat Sabah yang mahu parti
tempatan menerajui negeri tersebut.
Beliau kini menerajui Parti Harapan Rakyat Sabah, yang telah mendapat
kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 25 Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.