Jumaat, 28 Oktober 2016

Ada dua alternatif bantu rakyat beli rumah - Pakar Ekonomi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Terdapat dua alternatif yang boleh digunapakai untuk membantu rakyat kebanyakan memiliki aset hartanah, menurut pakar ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai. 
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam berhubung dasar Selangor mengenakan premium tanah dan caj pembangunan yang tinggi hingga menyebabkan rakyat sukar untuk memiliki rumah sendiri.
 
"(Pertama) Kita ubah perspektif pemilikan tanah. Daripada memilikinya selama-lamanya (freehold) atau 99 tahun kepada tempoh yang lebih singkat, misalnya 60 tahun, 30 tahun. Dengan cara itu nilai premium tanah menjadi lebih murah, seperti sewa jangka panjang. Maka membolehkan lebih ramai orang membeli rumah," ujarnya kepada Antarapos, hari ini. 
 
"(Kedua) Satu lagi cara menerusi koperasi perumahan. Yang mana contohnya, kita kumpulkan seribu orang yang hendak membeli rumah, kita tubuh koperasi dan beri satu kawasan tanah yang murah, dan mendapat bantuan kerajaan negeri. Kemudian koperasi ini membina rumah dengan pembiayaan yang juga boleh dibantu pengurusan kerajaan. 
 
"Apabila ia sudah siap maka ahli-ahli koperasi memasuki rumah dengan membayar sewa bulanan yang berasaskan kos perumahan dan pembangunan, yang mana lebih murah berbanding harga pasaran," katanya lagi.
 
Menjelaskan alternatif kedua itu, Barjoyai berkata bayaran sewa bulanan itu perlu dilunaskan ahli-ahli koperasi dalam tempoh tertentu sebagai bayaran balik pinjaman koperasi tersebut.
 
"Jika koperasi sebegini boleh ditubuhkan di setiap kawasan yang memerlukan perumahan, maka kita akan dapat lihat tekanan untuk mendapatkan rumah semakin berkurang," jelas Barjoyai.
 
Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar turut mencadangkan agar Selangor menurunkan harga premium tanah kepada pemaju bagi membolehkan golongan itu menjual rumah kepada pembeli dengan harga yang lebih murah.
 
Namun cadangan Noh itu tidak begitu praktikal kerana kebiasaannya golongan pemaju gemar menyerap kelonggaran yang diberikan kepada mereka, kata Barjoyai yang juga Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR).
 
"Kita boleh anggap ia sebagai salah satu cara. Maknanya apabila harga premium tanah menjadi rendah, maka kos pembangunan akan direndahkan dan harga rumah boleh jadi murah. 
 
"Namun biasanya, pemaju mempunyai formula tersendiri dalam mengira harga rumah. Jika itu berlaku, banyak keuntungan akan diambil oleh pemaju," katanya lagi.
 
Buat masa ini kerajaan negeri Selangor dibawah pemerintahan Datuk Seri Azmin Ali menetapkan 30 peratus daripada kawasan dimajukan perlu dibina rumah mampu milik.
 
Bagaimanapun, kerajaan negeri itu tidak memberikan sebarang subsidi kepada pemaju bagi membantu mengurangkan kos pembinaan rumah, ujar Noh.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.