MALAYSIAKINI
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan wakil
rakyat BN sebagai hipokrit kerana terus menyokong Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak atas alasan bahawa beliau tidak pernah disabitkan
dengan sebarang jenayah.
Mahathir berkata parti-parti komponen BN, termasuk Umno, MCA dan
lain-lain tahu bahawa Najib tidak boleh disabitkan dengan sebarang
jenayah kerana usaha telah dibuat untuk memastikan dakwaan salah lakunya
tidak akan dibawa ke mahkamah.
“Sebenarnya mereka tahu tuduhan terhadap Najib memang berasas dan benar.
“Mereka tahu bahawa sebabnya Najib tidak didapati bersalah ialah
kerana dia sendiri menyalahguna kuasanya dengan menyekat proses
undang-undang dengan menukar pendakwa raya supaya penjawat yang baru
menolak segala tuduhan terhadapnya.
“Jika proses perundangan berjalan pendakwa raya akan membawa kesnya
ke mahkamah dan perbicaraan boleh diadakan. Menurut tuduhan dan bukti
yang diketahui umum Najib tetap akan didapati bersalah oleh mahkamah,”
tulisnya di blog hari ini.
Bagaiamanpun, menurut Mahathir, pendakwa raya menyembunyi laporan-laporan supaya mahkamah tidak dapat mendengar kes Najib.
Sebaliknya, dakwa beliau, pendakwa raya berlagak sebagai hakim dan
memutuskan bahawa tidak ada kesalahan dibuat oleh Najib dalam
laporan-laporan yang diserah kepadanya.
“Yang jelas ialah Najib bukan didapati oleh mahkamah tidak bersalah,
tetapi perbicaraan tidak dapat diadakan kerana disekat oleh pendakwa
raya.
“Alasan mereka yang kononnya menerima Najib sebagai perdana menteri
kerana dia tidak didapati bersalah, hanyalah alasan yang tidak berasas.
“Amatlah malang Malaysia mempunyai wakil rakyat dan pemimpin
masyarakat hipokrit yang turut bersama dengan Najib menjayakan penipuan
olehnya,” tulisnya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.