Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 atau Akta 355 seperti yang ingin dibawa oleh Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan.
Seorang pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata,
pindaan tersebut hanya untuk menaikkan kadar hukuman terhadap kesalahan
yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah seperti mana yang termaktub
dalam senarai negeri.
Pindaan tersebut tidak akan menyentuh mengenai kesalahan yang berada di
bawah bidang kuasa kerajaan pusat iaitu jenayah awam seperti mencuri,
merompak, merogol dan sebagainya, jelas Sallehuddin.
"Akta 355 telah digubal Parlimen, dan kuasa yang diberikan di bawah
akta itu sendiri tidak ada yang tak konsisten dengan Perlembagaan sebab
ia dah kata dengan jelas dalam Seksyen 2, bahawa bidang kuasa Mahkamah
Syariah hanya bagi mendengar kes-kes yang tersenarai di bawah Jadual 9
Perkara 1, Senarai Negeri.
"Ikut undang-undang syariah, kalau kita pinda, yang pindaan tak boleh
kita katakan sebagai bercanggah dengan perlembagaan sebab ianya tidak
langsung menyentuh kuasa kerajaan persekutuan. Tidak ada," katanya dalam
satu temubual dengan Antarapos.
Justeru kata Salehuddin, dakwaan segelintir pihak yang mengatakan
pindaan terhadap Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,
langsung tidak berasas.
Beliau juga menjelaskan, tidak timbul soal dua set undang-undang bakal
wujud ekoran langkah meminda Akta 355, seperti yang dimomokkan
sesetengah pihak.
"Tapi ada pihak mengatakan mengapa ada dua set undang-undang, satu untuk orang Islam dan satu bukan Islam.
"Kita tak kata ia dua set undang-undang kerana dah dinyatakan dalam
Perlembagaan, bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan orang
awam seperti merompak, mencuri, merogol, bunuh, dadah dan sebagainya,
ini kesalahan yang dibawah kuasa erajaan Persekutuan, yang mana ia
terpakai kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
"Tapi Mahkamah Syariah bidang kuasanya hanya khusus kepada orang Islam,
yang mana ianya melibatkan undang-undang peribadi," kata beliau.
Tambah peguambela dan peguamcara itu lagi, proses untuk meminda Akta
355 masih 'panjang' dan sekiranya ia diluluskan di Parlimen, tidak
semestinya ia automatik terpakai kepada seluruh negeri.
"Kita kena ingat, walaupun mendapat kelulusan di Dewan Rakyat atau
Parlimen, ia masih tak bermakna negeri-negeri terpinda undang-undang
mereka.
"Sebab, undang-undang berkaitan Islam, kuasanya terletak kepada negeri,
setiap negeri ada enakmen kesalahan jenayah tersendiri. Sekarang,
bidang kuasa Mahkamah Syariah setiap negeri tertakluk kepada apa yang
ada sekarang iaitu 3,5,6.
"Ia terpulang kepada DUN sendiri, sama ada mereka nak pinda enakmen
mereka untuk selaras atau menambah hukuman bagi kesalahan yang mereka
ada bidang kuasa, pada kadar seperti mana yang diperuntukkan
undang-undang syariah. Jadi kena bahas semula di dewan negeri untuk
pinda enakmen negeri itu sendiri," katanya lagi.
PAS menerusi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal
membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk mencadangkan pindaan terhadap
Akta 355, bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Ia bagi menaikkan kadar hukuman Mahkamah Syariah yang ketika ini
dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda
RM5,000, 6 kali sebatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.