MALAYSIAKINI
Umno mengharap proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) untuk menamatkan kerjaya politik Presiden Parti Pribumi
Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, dakwa pemimpin Pakatan
Harapan Johor.
Mereka yang terdiri daripada Liew Chin Tong (DAP), Mohd Khuzzan Abu
Bakar (PKR) dan Aminolhuda Hassan (AMANAH) mendakwa demikian berdasarkan
penurunan 22.24 peratus pengundi di kerusi Parlimen Pagoh.
Daripada 46,793 pengundi pada tahun 2013, Pagoh kini hanya melibatkan 36,387 pemilih sahaja, tegasnya.
"Proses persempadanan semula Pagoh jelas bermotifkan politik. Difahamkan Pagoh mempunyai kira-kira 20,000 ahli Umno.
"Dengan mengurangkan jumlah pengundi di kawasan pilihan raya itu,
Umno berharap kerjaya politik Muhyiddin akan berakhir," kata mereka
dalam kenyataan bersama, hari ini.
Mereka menekankan bagaimana Pagoh sebagai sebuah kerusi parlimen
mempunyai kurang pengundi berbanding 14 kerusi dewan undangan negeri
Johor seperti Johor Jaya yang mempunyai 59,041 pengundi dan Perling
dengan 55,810 pemilih.
Sementara itu, kata mereka, kerusi Ketua Anggota Parlimen DAP, Lim
Kit Siang di Gelang Patah pula menjadi kerusi parlimen terbesar di
negeri itu dengan 112,081 pengundi.
Ketiga-tiga mereka berkata, proses itu secara jelas bertujuan
menjamin BN terus berkuasa dan menggesa rakyat Johor untuk membantah
cadangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.