Ahad, 18 September 2016

Agong, sultan boleh awasi PM, kata peguam Mahathir

Haniff berkata, rakyat tidak patut membincangkan keputusan Agong berhubung Deklarasi Rakyat yang diserahkan Dr Mahathir, Khamis lalu, sebelum baginda mendapat nasihat undang-undang.


Mohamad-Haniff-Khatri-Abdulla


PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk bertindak sebagai ‘semak dan imbang’ terhadap prestasi perdana menteri, kata peguam Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, beberapa peruntukan dalam perlembagaan perlu dibaca bersama untuk menunjukkan Agong dan sultan boleh mengawasi kerajaan pimpinan perdana menteri.

Katanya, pindaan perlembagaan pada 1993 memansuhkan imuniti ke atas pemerintah, di mana Agong dan sultan boleh melakukan ‘semak dan imbang’ ke atas tiga cabang kerajaan yang lain daripada sebarang penyalahgunaan.

Semalam, peguam Syahredzan Johan berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memecat Datuk Seri Najib Razak daripada jawatannya, kecuali majoriti ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap beliau.

Haniff berkata, “pilihan yang ada sekarang adalah menunggu keputusan Agong berhubung Deklarasi Rakyat.”

Katanya, ia tidak patut dan tidak sopan untuk membincangkan perkara itu, sebelum Agong mendapat nasihat undang-undang.

Khamis lalu, bekas perdana menteri menemui Agong di Istana Anak Bukit, Kedah dan menyerahkan Deklarasi Rakyat kepada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, bagi mendesak campur tangan baginda untuk memecat Najib.

 Deklarasi itu ditandatangani secara terbuka oleh 45 individu yang kebanyakannya ahli politik pembangkang, beberapa penyokong Dr Mahathir dan aktivis.

Kempen Selamatkan Malaysia dilancarkan untuk mengumpul tandatangan orang ramai yang kemudiannya menjadi kontroversi, apabila seorang pengaturcara komputer mendakwa menjual pangkalan data mengandungi butir peribadi lebih 600,000 orang.

Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan lebih 1.4 juta tandatangan berjaya dikumpul pihaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.