Khamis, 29 September 2016

Bajet 2017: Usah korbankan dana pendidikan

ARIF ATAN
 
 
Hafiz HabilHafiz HabilPemuda Amanah Wilayah Persekutuan mendesak Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan agar tidak lagi mengorbankan peruntukan pendidikan seperti yang berlaku pada Bajet 2016.

Ketuanya, Mohd Hafiz Habil berkata, pendidikan rakyat tidak wajar diperjudikan dan dikorbankan walaupun dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu.

“Jika Perdana Menteri mendakwa beliau telah menerima 8,352 cadangan rakyat berhubung dengan Bajet 2017, maka saya pasti tidak ada satu pun yang menyokong pengurangan bajet bagi pendidikan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengimbas dana untuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Bajet 2016 lalu, beliau berkata, pemotongan peruntukan sebanyak RM 1.4 billion mengakibatkan prospek masa hadapan negara terjejas.

“Hal ini sudah tentu menjejaskan kualiti pendidikan anak muda. Dalam keadaan biasiswa yang sangat terhad, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meminjam dengan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

“Apa yang mengecewakan PTPTN kini hanya memberikan pinjaman bagi membayar yuran pengajian semata-mata, manakala wang sara hidup terpaksa dicari sendiri oleh seseorang mahasiswa.

“Bagi mahasiswa yang mempunyai ibu bapa yang berpendapatan tinggi, perkara tersebut tidak menjadi masalah. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang ibu bapanya miskin dan mempunyai pendapatan rendah?” soalnya.

Mengulas lanjut kesan pemotongan dana bagi pengajian tinggi, Hafiz menceritakan tentang kisah yang benar-benar berlaku melibatkan mahasiswa di sebuah universiti di Lembah Kelang yang tidak dapat menghadiri kelas pengajian kerana terpaksa bekerja bagi menyara hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.