Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Tidak yakin dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin meraih
sokongan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mendorong
pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad 'mendekati' seteru
politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Demikian pandangan bekas pemimpin kanan PKR, Lokman Noor Adam terhadap
pertemuan Dr Mahathir dan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5
September lalu ketika bekas ketua pembangkang itu memfailkan saman bagi
menghalang penguatkuasaan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
"Mahathir manusia penuh ego dan beliau sama sekali tidak akan menghadap
Anwar kecuali terdesak. Apa yang berlaku hari ini adalah apbila
Mahathir ambil keputusan buang egonya dan menghadap orang yang pernah
dituduhnya sebagai peliwat, pengkhianat dengan bekerjasama agen asing.
"Maknanya Mahathir tak yakin lagi dengan Muhyiddin. PPBM gagal tarik
sokongan orang Melayu dan mereka yang berada di pihak pembangkang,"
katanya dalam temubual bersama Antarapos, hari ini.
Tambah Lokman lagi, faktor kesudian pertemuan itu juga berdasarkan
harapan Mahathir agar PPBM mendapat sokongan penuh Pakatan Harapan (PH)
yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14), akan datang.
Namun bekas Setiausaha Agung Pemuda PKR itu yakin, hubungan baik PPBM
dengan pembangkang tidak akan kemana berikutan isu agihan kerusi antara
mereka tidak mudah untuk dimuktamadkan.
"Saya beranggapan pertemuan antar Mahathir dan Anwar tidak akan membuahkan satu kata (sepakat). Hanya sia-sia.
"Mahathir cuba menggunakan Anwar supaya PH terima PPBM dalam gabungan
itu. Tetapi satu perkara yang saya nampak, apa yang cuba diperjuangkan
PPBM sama dengan apa yang diperjuangkan Umno," katanya lagi.
Mahathir juga menyeru kepada semua parti pembangkang agar bersatu jika ingin melawan Umno Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Ujarnya kegagalan parti pembangkang berbuat demikian menyaksikan
mereka tidak berhasil menjatuhkan Umno BN sejak 59 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.