ARAU: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan diteliti
oleh anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 Sept adalah
antara perkara yang akan diberi perhatian oleh Umno menjelang pilihan
raya umum akan datang.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
usul itu akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 30
Sept.
Katanya sebarang syor atau bantahan yang diputuskan hasil penelitian
tersebut kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
yang bertanggungjawab memutuskan perkara berkenaan.
"Pilihan raya berkait tentang bilangan dan kawasan di mana jumlah
kerusi mempengaruhi keutuhan sesebuah kerajaan memerintah, jadi proses
ini (persempadanan semula) antara yang boleh memberi impak kepada
perkara itu dan ia wajar diambil perhatian oleh parti," katanya.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bercakap kepada
pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Arau
di Dewan Kolej Matrikulasi Arau di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis yang
juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah
bermula Khamis lepas (15 Sept).
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian
semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113
Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14
Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Menurut Abdul Ghani SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula
Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah
Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 Sept hingga 14 Okt.
Terdahulu dalam ucapannya Tengku Adnan berkata Umno turut perlu
mempergiat jentera dalam meneliti senarai daftar pemilih di setiap
bahagian dan cawangan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya
umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.