JUARA Liga Super 2016, Johor Darul Ta'zim (JDT) ternyata masih belum puas meskipun sudah rasmi menjadi juara buat tiga tahun berturut-turut apabila menjinakkan T-Team 5-1 dalam aksi kedua terakhir saingan tersebut malam ini.
Beraksi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin ternyata memberikan aura semangat kepada Harimau Selatan yang dilihat masih belum menyimpan taring tatkala saingan liga musim ini sudah mula melabuhkan tirainya.
Skuad kendalian Mario Gomez bermula garang apabila beberapa percubaan hasil serangan bertali arus yang dipamerkan JDT gagal menemui jaring gol.
Pada minit ke-4, percubaan kapten pasukan, Amri Yahya hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan apabila percubaan luar kotaknya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Mimpi ngeri pasukan pelawat bermula apabila Amirul Hadi yang tidak dikawal kemas pertahanan T-Team dengan selesa menanduk masuk gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-5 hasil hantaran Fadly Mazlan.
Tersentak dengan gol berkenaan, gandingan import pasukan lawan, Makan Konate dan Patrick Dos Santos Cruz cuba melakukan serangan balas namun masih gagal menggugat keampuhan pertahanan JDT.
Permainan kembali didominasi Harimau Selatan apabila penyerangnya, Juan Martin Lucero dengan tenang menanduk masuk hantaran lintang S Chanturu pada minit ke 26.
Lucero sekali lagi menjadi penghukum pasukan pelawat apabila meledak masuk gol ketiga JDT selepas melakukan sepakan volley bola muntah hasil percubaan Amri Yahya pada minit ke 34
.
Kealpaan jentera tengah JDT, Garry Steven Robbat yang gagal mengawal bola dengan sempurna kemudiaannya menjadi punca awang import The Titans, Patrick Dos Santos Cruz berjaya meledak gol pertama pasukan pada minit ke 43.
Tatkala wisel penamat bagi separuh masa pertama ditiupkan pemain lawan, Maiga Abdoulava pula memusnahkan harapan pasukan selepas dirinya tertampan masuk hantaran dari S Chanturu sekali gus menyumbang gol keempat JDT.
Babak kedua menyaksikan JDT dianugerahkan sepakan penalti daripada pengadil, Zulkifli Ahmad apabila pemain The Titan, Ahmad Takiyuddin Roslan menjatuhkan Pareyra Diaz dalam kotak penalti pada minit ke 58.
Lucero yang gagal menyempurnakan penalti tersebut bagaimanapun menebus kesilapannya apabila berjaya menyumbat masuk gol kelima pasukan sekali gus melengkapkan hatrik pada minit ke 61.
Sebelum perlawanan melabuhkan tirai, penyerang lawan, Muhd Safawi Rased hampir menghadiahkan gol kedua saguhati buat pasukan selepas mengalahkan penjaga gol Farizal Marlias namun sepakannya gagal menemui jaring. Keputusan kekal 5-1 hingga wisel penamat.
Turut berlangsung malam ini majlis ringkas penyerahan piala Liga Super 2016 yang disempurnakan Ketua Pengarah Eksekutif (FMLLP) Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab JDT, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.