Oleh Shuhaniza Said
MUAR: Pimpinan Amanah menyambut baik cadangan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) supaya kesemua parti pembangkang bernaung di bawah satu
logo, namun berharap agar pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi
kerjasama yang baik ke arah usaha tersebut.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, beliau juga sudah
berbincang dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung idea
berkenaan.
"Cuma halangan terbesar dalam idea itu adalah sebagaimana kami lalui
sewaktu zaman Pakatan Rakyat dahulu, kita kemukakan permohonan kepada
ROS tetapi sampai PRU13, ROS mendiamkan diri. Itu isunya.
"Kita tak putus asa, sekiranya semua parti (pembangkang) bersetuju,
kita boleh mendapat kata sepakat dan akan adakan pertemuan dengan ROS
untuk mereka luluskan pendaftaran apa saja nama sama ada Pakatan Harapan
atau Harapan Rakyat, untuk berdepan satu lawan satu dengan BN.
"Saya harap ROS tak guna pelbagai halangan dan apa jua alasan, izinkan
kami didaftarkan dan kami boleh guna satu lambang pada PRU akan datang,"
katanya ketika ditemui sewaktu Sambutan Setahun Amanah di sini, hari
ini.
Semalam Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesyorkan
supaya kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang bernaung di
bawah satu logo demi berdepan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ujar bekas Menteri Besar Kedah itu, syor gabungan yang dipanggil
Barisan Rakyat itu akan disuarakan kepada ketua-ketua parti dalam waktu
terdekat.
Gabungan berkenaan penting supaya kesemua parti pembangkang dapat
melawan BN dengan satu logo yang sama, sekaligus tidak mengelirukan
pengundi, kata Mukhriz.
Gabungan itu juga dikatakan tidak akan menyisihkan PAS, yang kini
bergerak sendirian selepas tidak menganggotai Pakatan Harapan (PH)
ekoran terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) Jun tahun lalu.
Menyentuh mengenai penerimaan Amanah terhadap PAS di dalam gabungan
yang dicadangkan itu, kata Salahuddin, parti itu sentiasa mengamalkan
sikap 'tangan terbuka', namun ianya bergantung kepada PAS sendiri.
"Pintu sudah dibuka, kalau mereka (PAS) mahu masuk bersama barisan
pembangkang atau bersendirian menubuhkan blok ketiga. Tapi Amanah alukan
sebarang bentuk rundingan yang kita rasakan penting untuk berdepan
dengan BN pada PRU akan datang," katanya lagi.
Hal tersebut turut dipersetujui Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.
Ahli Parlimen Kota Raja itu menambah, satu perbincangan di antara
kesemua parti pembangkang perlu dilakukan sekiranya PAS menerima idea
berkenaan, khususnya membabitkan agihan kerusi bagi mencapai konsep satu
lawan satu.
"Semua orang berhasrat untuk melihat satu lawan satu dan PPBM kata
bukan mereka mahu bertanding semua tempat. Pakatan Harapan sedar hakikat
itu.
"Masalah sekarang, adakah PAS sanggup bekerjasama dengan gabungan empat
parti ini iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah. Kalau mereka sanggup datang
bersama, tentu kita perlu berunding, bukan satu parti mendominasi yang
lain," kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.