Ahad, 25 September 2016

PKR bimbang nasib 'Barisan Rakyat' jadi seperti Pakatan Rakyat

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Rakyat, yang bakal membentuk gabungan baru kesemua parti pembangkang untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikhuatiri akan menerima nasib mirip Pakatan Rakyat (PR).
 
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul mengambil contoh pendaftaran PR yang tidak pernah diluluskan, sehinggalah gabungan antara PKR-DAP-PAS itu terkubur pada Jun tahun lalu.
 
Johari berkata demikian sebagai respon terhadap syor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menerusi Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mahu kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang bernaung di bawah satu logo bagi mendepani BN pada PRU14 akan datang.
 
"Jika ini dibawa oleh Mukhriz, saya tegaskan ia bukan perkara baru. (Namun) tiada masalah di pihak PKR dan parti-parti lain untuk bertanding di bawah satu logo. 
 
"Saya dimaklumkan ada beberapa syarat tertentu yang dikemukakan oleh pihak pemerintah. Jika gabungan yang disaran didaftarkan pun tidak diluluskan (PR), saya tak jangka mereka akan benarkan (pendaftaran gabungan baru)," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Mukhriz ketika mengadakan sesi dialog bersama penyokong PPBM semalam memaklumkan syor gabungan yang baru itu akan disuarakan kepada ketua-ketua parti dalam waktu terdekat.
 
Ia bagi memastikan wujud pertandingan satu lawan satu, sekaligus mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi.
 
Pada waktu ini belum ada nama muktamad yang dicadangkan bagi pembentukan gabungan tersebut, melainkan Barisan Rakyat yang dicadangkan oleh beberapa pihak di dalam media sosial.
 
Sementara itu ditanya apa yang akan terjadi terhadap Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan baru itu wujud, Johari menjelaskan kerjasama antara PKR-DAP-Amanah itu akan tetap diteruskan sehinggalah satu ketetapan yang lain diputuskan.
 
"PH telah diwujudkan secara rasmi, secara konsensus. Bermakna menerusi tiga parti bergabung. PH juga bersetuju untuk meneruskan usaha-usaha berjumpa parti-parti lain. 
 
"Jika konsensus juga bersetuju untuk menukar PH kepada pakatan lain, atau membesarkan PH dengan menerima anggota baru, itu terpulang kepada pimpinan. Namun ia tidak menghalang untuk kita berjumpa ahli baru," kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu.
 
Gabungan baru itu juga mungkin akan disertai PAS.
 
Mukhriz juga membayangkan hasil perbincangan positif dicapai menerusi perjumpaan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.