IPOH: UMNO Bahagian Tambun menghormati keputusan Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah meletak semua jawatannya dalam parti dan Barisan Nasional
(BN) termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Bendahari Agung BN.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah
berkata, bagaimanapun bahagian itu berharap Ahmad Husni, yang turut
melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, dapat tampil
memberi penjelasan mengenai perkara itu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat
sebarang spekulasi berhubung peletakan jawatan Ahmad Husni sebaliknya
memberi beliau masa untuk menjelaskannya.
"Saya perlu bertemu sendiri dengan Datuk Seri (Ahmad Husni) kerana
setakat ini, apa yang saya peroleh sama seperti yang Datuk Shamsul
Zairil Kamaruddin maklumkan.
"Apa juga keputusan beliau, kita hormati tapi dalam masa sama, berharap
dia akan terus bersama kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat
khas Jawatankuasa Umno Bahagian Tambun di sini, malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan
rombakan Kabinet memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai
Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi.
Menerusi Shamsul Zairil yang juga setiausaha politiknya, Ahmad Husni
turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Bendahari
Agung BN, Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak,
Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.