KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani hari ini
mendahului barisan menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah
jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang
di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.
Upacara itu berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 11.30 pagi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan
menteri Kabinet. Selepas Johari, Tan Sri Noh Omar pula mengangkat sumpah
sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ini diikuti Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K
Devamany; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz; Timbalan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry
Sum Agong dan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,
Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.
Mereka kemudian melafazkan ikrar dan taat setia sebelum menandatangani
dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun
Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Najib
semalam, Noh, yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
dibawa masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan manakala Johari, yang sebelum ini Timbalan
Menteri Kewangan, dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan Kedua.
Perdana menteri turut memaklumkan bahawa Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah menamatkan perkhidmatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua atas
sebab peribadi, selain akan menyusun semula tugas menteri-menteri di
bawah Jabatan Perdana Menteri.
Penyusunan semula Kabinet itu turut membabitkan pertukaran portfolio
menteri sedia ada iaitu Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Mah Siew
Kiong sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman
Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab
bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Najib juga mengumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baharu dan
seorang bekas timbalan menteri ke dalam Kabinet, selain pertukaran dua
portfolio timbalan menteri bagi memantapkan pentadbiran. Perdana Menteri
berkata rombakan Kabinet kali ini bertujuan mengisi kekosongan menteri
dan timbalan menteri Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.