Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Apa
bezanya kes pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir dari Umno dengan kes bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa
hingga dilucutkan keahliannya dari PAS?
Mereka nampaknya menggunakan taktik mengenakan ‘kerosakan maksimum’
terhadap parti dan mengacah para pemimpin masing-masing supaya memecat
mereka walaupun tahu akibatnya parti akan lebih lemah bukan sebaliknya.
Pada
satu sisi, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemecatannya dari Umno
adalah sesuatu yang sudah dijangka. Ini bermakna bahawa beliau memang
insaf ada tingkah lakunya yang menyalahi adab Umno.
Ini juga membuktikan bahawa beliau faham dan sedar bahawa apa yang
dilakukan sejak beberapa bulan selepas digugurkan dari kabinet Malaysia
memang akan mengundang padah sedemikian.
Justeru pertimbangan beliau tidak mahu membuat rayuan terhadap
keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memecat beliau dan bekas
menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kelihatan wajar.
Namun anehnya beliau tetap melaungkan bahawa keputusan MT Umno itu
tidak adil. Beliau mendakwa pemecatan mereka tidak melalui proses
keadilan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Menurut Muhyiddin, untuk berlaku adil, MT Umno sewajarnya memberikan
surat tunjuk sebab terlebih dahulu bagi membolehkan beliau dan Mukhriz
menerangkan sebarang asas berhubung tindakan mereka sebelum ini.
"Itu (keputusan) dibuat dengan kehendak mereka sendiri tanpa beri ruang
kepada kami untuk beri sebarang penjelasan,"katanya dalam sidang media
yang berlangsung di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya minggu lalu.
Di sini kelihatan bahawa Muhyiddin sebenarnya ‘belum bersedia’ dipecat.
Jika tidak, mengapa perlu mempersoalkan soal teknikal dan bukan
menerima hakikat bahawa beliau sudah melanggar disiplin parti?
Jika benar soal pemecatan sudah diduga dan beliau bersedia dengan skrip
tidak akan membuat rayuan, mengapa perlu mempertikaikan cara beliau
dipecat?
Begitu
juga dengan Husam. Setelah menghamburkan pelbagai kritikan terhadap
presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di hadapan khalayak
ramai, beliau juga dilihat ‘tidak bersedia’ meninggalkan parti yang
“disayanginya”.
Seperti Muhyiddin dan Mukhriz, Husam juga enggan merayu kes pemecatan
mereka tetapi masih bersedia untuk ‘memerah situasi’ untuk meraih
simpati ahli dan rakyat pada ‘perjuangan’ mereka yang ‘menyakiti parti
masing-masing.
Sebagai pemimpin utama dalam parti masing-masing, tentu baik Muhyiddin
mahupun Husam sedar tindakan menjaja apa yang disifatkan kelemahan dan
keburukan pemimpin, adalah gelagat politik yang kurang adab.
Tugas Muhyiddin sebagai timbalan presiden dan Husam sebagai bekas naib
presiden tentunya membantu presiden. Jika ada yang tidak
dipersetujuinya, mereka boleh menegur atau membentangkannya dalam
mesyuarat pimpinan parti.
Malah jika cara berkenaan juga tidak mendatangkan hasil yang
diharapkan, mereka bebas untuk meletak jawatan dan bukan membuat
serangan terbuka terhadap presiden dan parti. Itu adab mana-mana
institusi politik.
Nampaknya baik Muhyiddin mahupun Husam mahu meregang seberapa boleh
kesempatan masih berada dalam parti untuk memburukkan pemimpin dan bukan
berusaha untuk memperkukuhkannya.
Ketika
menyerang kepimpinan parti mereka seolah-olah tidak menghiraukan soal
adab. Bagaimanapun apabila dipecat masing-masing mengungkit soal
teknikal dan pentadbiran untuk terus memburukkan wibawa pimpinan parti.
Sebenarnya, pengumuman pemecatan ke atas Muhyiddin dan Mukhriz dan
Husam itu hanya dibuat setelah berbulan-bulan mereka ‘mempersendakan’
kewibawaan presiden masing-masing. Sedikitpun soal berlaku adil tidak
timbul.
Sebenarnya pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya telah lama
dilakukan ekoran desakan beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, tahun
lalu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan,
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk tidak
melakukannya.
Begitu juga dengan Hadi. Jika hendak diambil kira serangan-serangan
dari dalam yang dilancarkan oleh Husam terhadap kepimpinannya dan
ditokok oleh kawan-kawan Husam yang sudah meninggalkan parti dan
menubuhkan PAN, memang beliau menunjukkan kesabaran yang tinggi.
Menurut Annuar Musa lagi, dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu, pimpinan
parti dengan jelas memberi isyarat agar mereka ‘kembali ke pangkal
jalan’ dan mengutamakan solidariti parti bersama pucuk pimpinan.
“Najib pula sewaktu menggulung perbahasan ketika itu memilih untuk
berjiwa besar dengan menghulurkan tangan dan menyeru ke arah penyatuan
parti.
“Walaupun begitu segalanya bukan saja disambut dingin oleh Muhyiddin
dan Mukhriz malah mereka terus dan berulang kali melanggar disiplin
parti,” katanya.
Umno-BN kemudiannya berdepan dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak namun
mereka terus bersekongkol dengan pembangkang dan ini berlarutan dalam
pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Memang demikian adat orang yang cuba menegakkan benang basah. Namun
apabila dipecat mereka menimbulkan soal teknikal untuk mendapat ‘talian
hayat’ pada kerjaya politik mereka dan meraih simpati penyokong parti.
Seperti Husam, Muhyiddin dan Mukhriz pun belum mahu membentangkan
langkah politik selanjutnya yang bakal mereka ambil. Mereka cuma
membayangkan sudah mendapat banyak tawaran menyertai parti lain.
Sebenarnya parti politik berdaftar tidak banyak di Malaysia. Di pihak
pembangkang, yang aktif cuma PAS, DAP, PKR dan PAN. Mengambil iktibar
gelagat Husam tentu PAS tidak berselera menjemput Muhyiddn dan Mukhriz
menyertai mereka.
Untuk menyertai DAP, tentu ketiga-tiga mereka bimbang dituduh mahu membantu menegakkan aspirasi politik Cina parti itu.
Sementara untuk menjadi ahli PKR pula, Muhyiddin tentu ingat betapa
beliau berkunjung ke kediaman Anwar Ibrahim pada hari Anwar dipecat
sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ketika itu Muhyiddin ialah Naib Presiden Umno. Kunjungan Muhyiddin itu
menanamkan harapan bahawa beliau akan bergabung dengan entiti politik
yang mahu mempertahankan Anwar.
Sebaliknya Muhyiddin yang pernah bergabung dengan Anwar dalam “Team
Melayu Baru” untuk memanjat tangga Naib Presiden Umno menyifatkan
dirinya Umno totok. Soal membantu Anwar dalam perjuangan langsung tidak
timbul.
Sekurang-kurangnya Anwar Ibrahim apabila dipecat dari Umno mampu
menggerakkan kempen reformasi untuk negara. Mampukah Muhyiddin dan
Mukhriz memulakan gerakan berkesan membantai Umno?
Husam pula berlagak ‘duri dalam daging PAS’ tetapi tidak mahu ditalak
parti itu. Mungkin parti yang bersesuaian buat mereka beertiga ialah PAN
yang masih belum menunjukkan kepimpinan yang berkesan.
Mungkin PAN sesuai untuk Muhyiddin, Mukhriz dan Husam “menjual”
kredential mereka sebagai politikus yang pernah menempel dalam
parti-parti politik besar walaupun aura dan potensi kepimpinan mereka
sebenarnya terhad.
Sila ketepi Mat Sabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.